Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang bercakap kepada sidang media Pertemuan Gagasan Sejahtera di Hotel Zenith Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 26 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ketetapan dan isi kandungan dalam piagam Pas-UMNO telah dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Hadi selaku rakan sekutu baharu kepada UMNO enggan mendedahkan isi kandungan piagam yang akan ditandatangani pada 14 September depan.

“Nanti sampai masanya akan diumumkan. Ia sudah dirangka. Nanti lahir anak baru beri nama,” katanya dalam sidang media mesyuarat majlis pimpinan Gagasan Sejahtera, di Zenith Hotel, hari ini.

Pas-UMNO sebelum ini setuju untuk menjalinkan kerjasama secara Ta’awun Siyasi yang menyentuh semua isu melibatkan kepentingan nasional.

Piagam itu tidak hanya menumpukan kepada isu Islam dan Melayu semata-mata, sebaliknya lebih menyeluruh untuk semua kaum.

Dalam perkembangan berkaitan, Hadi berkata, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) setuju untuk menyertai kerjasama politik penyatuan ummah antara Pas dan UMNO.

Hadi berkata, kedua-dua parti dalam gabungan Gagasan Sejahtera yang dipimpin Pas, akan menyertai kerjasama politik itu melalui Gagasan Sejahtera.

“Mesyuarat telah bersetuju untuk mengambil beberapa ketetapan seperti berikut, (antaranya) menerima kerjasama politik penyatuan ummah di antara Pas dan UMNO di atas kerangka taawun siyasi,” kata Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, Ikatan dan Berjasa sudah bersetuju untuk menyertai kerjasama Pas dan UMNO.

“Ya, seperti mana Pas mewakili Gagasan Sejahtera dan UMNO mewakili BN,” jelasnya.

Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, parti itu adalah adalah sebahagian daripada Gagasan Sejahtera, dan bersetuju untuk menyertai kerjasama dengan UMNO.

“Kami ahli bersama dengan Pas nama parti Ikatan Bangsa Malaysia makna kata berbilang kaum.

“Jadi bermakna bila kami sudah sepakat dengan Pas makna parti itu dapat menerima konsep Bangsa Malaysia bahawa di negara ini, parti politik akan melindungi kepentingan semua kaum dan agama,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, Abdul Kadir berkata, Ikatan masih belum berminat untuk menyertai kerjasama membabitkan UMNO dan Pas. -MalaysiaGazette