Jalil Rasheed

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Invesco, Jalil Rasheed dilantik untuk menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad pada 1 Oktober ini.

Abdul Rahman akan meninggalkan PNB selepas kontraknya tamat 30 September ini.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Sime Darby Berhad menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Aziz dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Abdul Rahman.

“Bagi pihak ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB, serta Pengurusan dan semua rakan sekerja, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Abdul Rahman atas segala sumbangan beliau kepada PNB dan syarikat-syarikat dalam kumpulan, sepanjang tempoh tiga tahun beliau di sini.

“Kami berhasrat untuk terus bekerja bersama dengan beliau dalam peranan yang baharu di Sime Darby Berhad,” dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PNB dalam kenyataannya berkata, semua proses kelulusan bagi pelantikan yang diumumkan di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Lembaga Pengarah PNB dan juga pihak badan
kawal selia.

Katanya, buat masa ini Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25
negara.

Sebelum ini, beliau berpangkalan di luar negara dan pelantikan baharu di PNB adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk
mempelbagaikan aset di peringkat global.

Jalil memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics and Political Science (LSE), United Kingdom.

Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di
Aberdeen Islamic Asset Management pada tahun 2010.

Jalil kemudiannya meninggalkan Aberdeen untuk menerajui syarikat Invesco sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Selatan) pada tahun 2013, iaitu jawatan yang disandangnya sehingga kini. – MalaysiaGazette