Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri berkata beliau tidak maklum akan lantikan Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu.

Katanya, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz tidak memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Jalil.

“PNB di bawah Zeti. Zeti tidak beritahu saya pun,” katanya dalam sidang medai selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai pandangan sama ada Jalil memahami hal ehwal ekonomi Melayu dan Bumiputera di negara ini berikutan pelantikan itu, memandang beliau mempunyai pengalaman di luar negara.

Jalil dilantik untuk menerajui PNB menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad pada 1 Oktober ini.

Abdul Rahman akan meninggalkan PNB selepas kontraknya tamat 30 September ini.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Sime Darby Berhad menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. -MalaysiaGazette