Bank Negara Malaysia
KUALA LUMPUR – Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$103,911.1 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$ 216.9 juta pada akhir Julai 2019.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, untuk tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman mata wang asing, sekuriti dan deposit, berjumlah US$6,892.9 juta, susulan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara yang matang.

Aliran keluar jangka pendek pinjaman mata wang, sekuriti dan deposit itu antara lain meliputi pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh Kerajaan dan pembayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank, menurut BNM dalam Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir Bulan Julai 2019, yang disiarkan hari ini.

Sementara itu, kedudukan hadapan pendek berjumlah US$12,838.8 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang sebanyak US$160 juta pada akhir Julai 2019, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2,466.8 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Ia berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan ke atas hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$336.7 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. – MalaysiaGazette