Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (kiri) menerima cenderahati dari Presiden Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Norman Abdul Halim turut mengiringi Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac (dua kiri) pada Pelancaran Program ‘Contentpreneur 2020’ anjuran Yayasan KRU sempena Minggu Usahawan Nasional di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2019

SERDANG – Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan untuk mengetengahkan dan mempamerkan pendekatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bagaimanapun mengakui ia bukan satu langkah yang mudah untuk dicapai kerana terdapat pelbagai cabaran yang sedang menanti pemain industrinya.

“Minggu Usahawan Nasional ini merangkumi cabaran besar untuk kita menterjemahkan dasar kita untuk memartabatkan usahawan kita.

“Selepas mengadakan konvensyen usahawan dengan pelbagai resolusi dipersetujui untuk dilaksanakan, kita hari ini mempamerkan apa hasrat dan pendekatan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara usahawan secara julung kali.

“Ia akan diteruskan sebab impaknya akan menjadi titik tolak atau petanda maju ke depan membuka minda dan membudayakan masyarakat khususnya anak muda dalam bidang keusahawanan,” katanya semasa berucap merasmikan Contentpreneur 2020 anjuran Yayasan KRU di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) pagi tadi.

Tambah beliau, kerajaan tidak mahu usaha yang dilaksanakan dalam perkara berkenaan menjadi sekadar mencari ilmu semata mata sebaliknya membudayakan ilmu semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri kandungan kreatif keusahawanan yang kini dimulakan Yayasan KRU selaku duta kementerian.

Beliau memuji usaha Yayasan KRU yang cuba menggabungkan para pelabur, tenaga profesional industri, karyawan dan golongan akademik untuk memacu industri keusahawanan kreatif negara.

Menurutnya, MUN akan menjadi salah satu pemangkin yang membentuk ke arah usahawan berjaya dan tapak mengukuhkan lagi landskap usahawana sedia ada.

Malah beliau juga mahu kerjasama erat dengan rakan strategik untuk memacu industri kandungan kreatif

“Ini satu cabaran membentuk gagasan dalam pentadbiran kerajaan memastikan peranan ini jadi tonggak negara.

“Pelaksanaan seperti Majlis Akademik simposium, sidang kemuncak keusahawanan global baru sahaja selesai di Bahrain yang mana kita cuba memperkasakan kemahiran kandungan kreatif dan bertukar idea untuk melihat potensi penganjuran pertandingan usahawan industri kreatif dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Malah saran beliau, pertumbuhan industri kandungan kreatif perlu lebih mengutamakan anak muda dan graduan lepasan pengajian tinggi yang terkapai-kapai mencari kerjaya sesuai untuk mereka.

Beliau dalam perkembangan sama menjelaskan bahawa sedang dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menaikkan industri kandungan kreatif.

“Saya ada bincang dan memaklumkan kepada Tun betapa susah usahawan dalam industri kandungan kreatif untuk mendapatkan dana pembiayaan dan mencadangkan perlunya mewujudkan satu dana khusus untuk membangunkan industri kreatif berkenaan.

“Ia masih dalam perbincangan lagi,” tegasnya sambil menyarankan Yayasan KRU tampil berbincang dengan kementerian untuk mengadakan pameran khusus menunjukkan industri kandungan kreatif sendiri untuk tatapan masyarakat.- MalaysiaGazette