Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP merumuskan bahawa fitnah dan pembohongan yang nyata daripada golongan yang menentang kerajaan Pakatan Harapan sebagai cabaran terbesar untuk Malaysia bergerak ke hadapan.

Malah, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng juga menyifatkan penggunaan sentimen perkauman dan ekstremisme agama telah mewujudkan defisit kepercayaan di mana rakyat cenderung mempercayai fitnah dan pembohongan berbanding kebenaran dan fakta.

“Bagi membina perpaduan nasional, kita harus membina keyakinan dan mengembalikan kepercayaan ke dalam sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat, yang mahu membina sebuah masa hadapan yang lebih baik demi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-62 di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, rakyat tidak akan menerima sebarang keuntungan dengan mengikut jejak mereka yang menyebarkan perpecahan nasional melalui sentimen perkauman dan ekstremisme agama.

Juga, katanya, negara bakal rugi besar jika kita gagal memberi tumpuan kepada ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan ekonomi rakyat.

“Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 bukan sahaja sempena tema tahun ini, iaitu “Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih”. Ia juga merupakan penetapan semula semangat Merdeka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya.

Sehubungan dengan itu, DAP, kata Guan Eng, menyeru semua rakyat Malaysia supaya  menunjukkan rasa kasih sayang kepada negara dan menghargai jasa mereka yang telah berkorban demi kemerdekaan kita dengan menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

“kita hanya perlu melakukan sebuah ikrar mudah untuk mengangkat perpaduan nasional berbanding perpecahan; kepelbagaian berbanding penguasaan; kebenaran berbanding fitnah; kebebasan politik berbanding penindasan; kedaulatan undang-undang berbanding arahan peribadi; kesetaraan peluang berbanding monopoli; pentadbiran bersih berbanding amalan rasuah; kemakmuran bersama berbanding kapitalisme kroni; dan perlindungan alam sekitar berbanding pencemaran,” katanya.

Beliau berkata, sesi konsultasi Belanjawan 2020 yang sedang berlangsung mengutamakan kemakmuran bersama dan ekonomi berkeusahawanan yang akan membantu rakyat Malaysia menetapkan semula kepercayaan bahawa kita hanya mampu menjadi kuat apabila kita bersama.

“Marilah kita menyambut Hari Kemerdekaan kita dengan memperbaharui kepercayaan kita antara satu sama lain, bahawa hanya apabila kita bersatu, kita tidak akan gagal,” kata ahli Parlimen Bagan itu. – MalaysiaGazette