RIYADH (Reuters) – Ketua suruhanjaya anti rasuah Arab Saudi yang baharu merancang untuk memburu kakitangan awam selepas kempen berprofil tinggi melibatkan putera-putera raja dan ahli perniagaan utama yang dilancarkan dua tahun lepas tamat.

Mazen al-Khamous memberitahu stesen televisyen Al Arabiya, selepas pelantikan beliau pada Jumaat lalu, beliau telah diarahkan untuk memberi fokus terhadap memerangi rasuah birokrasi dalam negara pengeksport utama minyak dunia.

Beliau juga perlu menghantar laporan setiap bulan kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman setiap bulan.

“Selepas negara ini berjaya menghapuskan rasuah secara besar-besaran, saya ingin menyampaikan amaran keras daripada putera mahkota yang mana baginda mengarahkan saya untuk menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di peringkat menengah dan rendah,” katanya.

Mahkamah diraja Arab Saudi pada Januari lalu menamatkan kempen anti rasuah selama 15 bulan selepas memanggil hampir 400 orang dan memperolehi lebih AS$106 bilion menerusi penyelesaian luar mahkamah dengan belasan daripada mereka.

Matlamat asal adalah untuk menyiasat sepupu-sepupu putera mahkota seperti pelabur dan bilionair Putera Alwaled bin Talal dan menteri ketenteraan, Putera Miteb bin Abdullah serta bekas menteri ekonomi, Adel Fakieh, bekas ketua mahkamah diraja, Khalid al-Tuwaijri dan ahli perniagaan ternama, Waleed al-Ibrahim, Saleh Kamel dan Bakr bin Laden.

Ia merupakan sebahagian daripada program transformasi negara tersebut, kata putera mahkota.-Agensi