Dr. Shamsul Anuar Nasarah
Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kira-kira 99 peratus cadangan piagam UMNO dan Pas adalah sama.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, ia bukti keserasian kedua-dua parti itu.

Menurutnya, persamaan itu jelas apabila wakil kedua-dua parti membentangkan cadangan masing-masing.

“Bila hendak merangka piagam yang akan ditandatangani 14 September nanti, UMNO rangka piagam mereka… begitu juga dengan Pas rangka piagam mereka untuk dibentangkan dalam mesyuarat.

“Bagaimana hebatnya kita, 99 peratus yang dirangka hampir sama.

“Ini apa maknanya? Maknanya, cita-cita, roh, semangat dan iltizam UMNO dan PAS adalah sama iaitu mahu bangkit semula membela agama Islam, Melayu, Bumiputera dan menjaga kepentingan kaum lain dalam negara ini,” katanya.

Beliau semasa berucap di dalam program Jelajah Ceramah Umum Sempena Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 peringkat Wilayah Persekutuan di Cheras malam tadi.

Shamsul Anuar juga mendakwa kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa gabungan UMNO dan Pas bersifat rasis satu tuduhan jahat.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas di sini, walaupun Tun kata bahawa gabungan dua parti Islam terbesar ini akan menjurus kepada perkauman dan rasis, tapi ini tidak benar sama sekali malah tuduhan itu sangat jahat…

“Sebab itu datanglah pada 14 September nanti di PWTC, akan ada sesuautu yang sangat hebat yang akan diumumkan nanti,” ujarnya.

Tambah Shamsul, perhimpunan tersebut bukanlah hanya untuk UMNO dan PAS tetapi adalah untuk semua rakyat Malaysia.

“Sebab itu kita buat roadshow untuk ajak semua tidak kira siapa. Program ini juga akan dijayakan oleh rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Jadi datang dan dengar sendiri apa yang akan kita umumkan nanti,” katanya.- MalaysiaGazette