Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) beramah mesra bersama pemandu-pemandu teksi selepas pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso untuk pemandu-pemandu teksi di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kempen boikot barangan bukan Islam yang dilancarkan oleh pembangkang dan badan bukan kerajaan bukan sahaja menghancurkan perpaduan nasional tetapi juga dengan negara luar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, langkah ke belakang itu bukan sahaja memecahbelahkan rakyat bahkan menjejaskan hubungan ekonomi khususnya dengan negara bukan Islam.

“Usaha-usaha seperti ini menghancurkan konsep perpaduan kebangsaan. Kalau di negara kita pun kita sudah mula bersikap begitu, nak pecah belahkan rakyat, lepas itu bagaimana keadaan negara kita ini nak berniaga dengan negara luar bukan Islam.

“Ini pemikiran terlalu singkat dan mengabaikan kesan jangka masa panjang terhadap perpaduan negara sendiri, hubungan kaum dan tidak mengambil kira tentang (hubungan) negara kita dengan negara lain.

“Ianya bukan pendekatan yang membina dan membangun dan ia akan menjadi punca perbalahan dan akan merosakkan negara kita,” katanya pada sidang media di Yayasan Wilayah Persekutuan, Kampung Bharu hari ini.

Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap semasa sidang media pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso untuk pemandu-pemandu teksi di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

Terdahulu Khalid menyerahkan replika cek kepada Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Azhar Md Nadzri pada Majlis Penyerahan Bantuan Caruman Perkeso Untuk Pemandu-Pemandu Teksi di Wilayah Persekutuan bernilai RM201,988.90.

Menurut Khalid, kempen membeli barangan buatan orang Islam hanya membuatkan pengusaha atau usahawan Islam leka dan tidak mengambil berat terhadap kualiti produk keluarannya.

“Kalau kita ada satu konsep di mana lantaklah kualiti pun tak bagus harga mahal tak apa, asalkan kita beli produk sesama Islam, tiada dorongan bagi orang Islam itu menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan harga rendah.

“Ini dengan sendirinya akan menghancurkan kreativiti dan keusahawanan dalam kalangan orang Islam dan Melayu.

“Ini merupakan satu sikap yang cukup negatif dan merosakkan dari pelbagai perspektif dan aspek bukan sekadar perpaduan negara tapi juga dari segi keusahawanan serta kesungguhan menghasilkan produk terbaik pada harga yang kompetetif,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut membidas sikap pembangkang yang melancarkan kempen boikot barangan bukan Islam sambil menyifatkan mereka ketandusan isu.

“Dulu kita pun pembangkang tapi bila kita duduk sebagai pembangkang, kita membangkang secara konstruktif, kita nak bina masyarakat kita, kita nak bina negara kita, kita nak satu padukan rakyat

“Sekarang ini nampaknya pembangkang tiada isu, dia boleh timbulkan persoalan perkauman, pertelagahan di antara orang Melayu dengan bukan Melayu, di antara orang Islam dengan bukan Islam.

“Pembangkang bukan lagi pembangkang yang membina tetapi pembangkang yang merosak dan menghancurkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette