Polis memburu seorang lelaki warga India bernama Don disyaki suspek utama bagi membantu siasatan kes pembunuhan penyelia syarikat pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Seksyen 13 Petaling Jaya kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki warga India bagi membantu siasatan penemuan mayat penyelia syarikat kawalan keselamatan yang dibunuh di sebuah kondominium di Seksyen 13 Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dikenali dengan panggilan Don merupakan suspek utama melakukan jenayah tersebut.

“Suspek masih bebas dan polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ini, Asisten Superintendan Mophd Hafizee di talian 013-3587571,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan turut ditahan tiga suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di premis sama untuk membantu siasatan semalam.

“Kedua dua warga Nepal itu bernama Kami Sun Bahadur, 40 tahun dan rakan senegaranya Tanka Prasad Gautam, 42, direman selama tujuh hari sehingga 9 September ini manakala pengurus keselamatan warga tempatan Chan Mun Loong, 26 pula direman sehingga esok dan ditahan di lokap IPD Petaling Jaya,” katanya.

Semalam mayat Lee Poh Meng, 54, yang merupakan penyelia syarikat Kawalan Keselamatan Rekal Jaya Security Services Sdn Bhd. ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tandas kakitangan di kondominium mewah itu.

Beliau dipercayai mati dipukul pada pukul 6 petang Ahad lalu oleh pengawal kerana tidak membayar gaji.

Tambah Mohd Zani, penelitian lanjut polis terhadap rakaman kamera litar tertutup yang diambil dari bilik kawalan kondominium itu mendapati mangsa dipukul berkali-kkali secara ganas dengan menggunakan topi keledar oleh seorang pengawal keselamatan warga asing dikenali dengan nama Don di dalam bilik pengawal keselamatan.

“Siasatan sedang dipergiatkan polis secara mendalam dan pemburuan suspek telah digandakan mengikut siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” kata beliau.- MalaysiaGazette

Berang tak dibayar gaji, pengawal keselamatan pukul penyelia hingga mati