Bicara Misi Kemanusiaan anjuran USIM.

NILA I – Seiring dengan hasrat universiti untuk menjadikan wacana ilmu lebih dinamik dan mesra penonton, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil dengan konsep wacana persembahan seni budaya yang dikenali sebagai WAKON.

Mahu mencari kelainan, WAKON menggunakan pendekatan diskusi secara santai dengan jemputan panel dan ikon yang berwibawa, lebih menarik lagi program tersebut diiringi oleh Kumpulan Band Pusat Kebudayaan USIM.

Berlangsung di Panggung Budaya USIM Khamis lalu, topik yang diketengahkan selari dengan perkembangan semasa iaitu Misi Kemanusiaan: Tanggungjawab Masyarakat atau Perjuangan NGO.

WAKON dibarisi oleh panel yang hebat iaitu Zairulshafudin Zainal Abidin, Ketua Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM); Dr. Isa Hassan, Presiden III Jamiyah Singapura; dan moderator oleh Dr. Hayati Ismail Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), WAKON

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed, WAKON telah didaftarkan sebagai Hak Cipta di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Sebanyak empat siri akan diadakan dengan membawa tema kemanusiaan, warisan, budaya, sastera dan bahasa. Program ini juga akan diterbitkan dalam Youtube (LeadsTV@USIM) dan penerbitan buku.

”Universiti adalah institusi pendidikan yang berperanan penting dalam memberi contoh yang terbaik dengan mempersiapkan para pelajarnya bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, malah dididik dengan peribadi dan akhlak mulia yang dapat berkhidmat dan memberi kebahagiaan kepada masyarakat.

”Pendedahan ini perlu bersepadu dan konsisten bagi menimbulkan rasa keperihatinan agar ia dapat membentuk nilai-nilai murni yang akhirnya menjadikan mereka insan yang dapat berfungsi kepada masyarakat”, jelas Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Bagi Zairulshafudin, NGO dan pasukan sukarelawan dari merata dunia berperanan sebagai jambatan bagi menyalurkan bantuan, bukan sahaja dari segi materialistik tetapi golongan ini bertindak sebagai pengantara untuk memberi semangat dan sokongan untuk teruskan kehidupan.

Tambah beliau, penglibatan selebriti dan artis dalam program kesukarelawan mampu menceriakan suasana sekaligus mendorong golongan tidak bernasib baik itu untuk bangkit meneruskan kehidupan.

“Ini dapat menyuntik rasa belas kasihan dan keprihatinan sesama umat seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan keturunan,” katanya.

Aktivis dan selebriti Irma Hasmi turut berkongsi pengalaman beliau ‘jatuh cinta’ dengan misi kemanusiaan di Syria dan Palestin ketika mengacarakan pogram Assalamualaikum di TV Alhijrah yang memberikannya peluang untuk berjumpa  dan berdiskusi tentang misi kemanusiaan ini.

” Platform media sosial seperti instagram dan facebook saya manfaatkan untuk berkongsi benda baik untuk menjadi ikutan kepada peminat saya supaya dapat memberi inspirasi kepada mereka berbuat kebaikan,” katanya.

Program kali ini turut dihadiri oleh Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Penaung Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI); Pengarah Bahagian Komuniti dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nor Tipah Majin; dan Nmanzee Harris Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah.

Turut hadir sama Karyawan Seni USIM Dato’ Nash, Syed Indera Sed Omar dan Sharifah Khasif. – MalaysiaGazette

Berminat untuk berkongsi berita, foto, video dan perkembangan menarik dunia kampus anda? MalaysiaGazette menyediakan ruangan SISWA untuk paparan berita kampus. Hubungi kami di [email protected]