Datuk Seri Mohamad Ali
Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali bercakap semasa sidang media penyerahan laporan siasatan forensik video seks kepada Istana Negara di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pihak Istana digesa campur tangan dan menitahkan pihak berkuasa agar segera menyiasat kes video di luar tabii mirip seorang menteri Kabinet.

Timbalan Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali menegaskan, sekiranya skandal itu dibiarkan tanpa siasatan, ia dikhuatiri akan menjadi bahan ketawa masyarakat luar khususnya ketika lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Indonesia, baru-baru ini.

“Kita tidak mahu negara kita jadi bahan ketawa daripada orang khususnya orang luar, saya baru balik dari Jakarta, Indonesia di mana ramai rakan saya boleh heran dan ketawa.

“Ini kerana mana mungkin seorang yang melakukan jenayah berdua, seorang telah mengaku, dan seorang lagi tidak mengaku .

“Ini kerja paling mudah dan senang, seorang mengaku, seorang lagi tidak mengaku, polis mudah untuk buat siasatan, tetapi sampai hampir dua bulan lebih ini kita belum dapat hasil,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Istana Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamad bersama Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan menyerahkan laporan siasatan forensik ke atas video di luar tabii mirip menteri Kabinet yang dikeluarkan oleh sebuah badan forensik yang berpengkalan di United Kingdom kepada Istana Negara, pagi ini.

Laporan siasatan forensik lebih 50 muka surat itu diperolehi oleh Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam, pada Ogos lalu.

Mohamad juga berkata, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil dalam tempoh dua minggu akan datang, pihaknya akan mengedarkan salinan laporan siasatan forensik itu kepada para pengundi Parlimen Gombak.

“Saya kira ini yang terakhir kita lakukan, kita mohon kepada pasukan polis terutamanya ketua polis negara untuk mengambil tindakan.

“Kami telah mencetak hampir 100,000 dapatan forensi ini dan kita telah cetak untuk kita berikan kepada seluruh pengundi di Parlimen Gombak.

“Dengan ini mereka sebagai hakim rakyat di mana mereka yang mengundi boleh kenal siapa sebenarnya Azmin yang sebenar,” katanya lagi.

Sementara itu, Shahrin pula berkata, tujuan mereka menyerahkan laporan siasatan forensik itu kepada Istana Negara bagi memaklumkan bahawa rakyat menuntut keadilan khususnya pelakunya mirip menteri Kabinet.

“Tujuan utama kita hantar laporan ini untuk memberitahu kepada Tuanku bahawasanya patik rakyat jelata inginkan keadilan terhadap pelaku iaitu Azmin setelah lima hari kita tunggu tiada tindakan.

“Laporan sama telah dihantar kepada Perdana Menteri, kami menunggu sehingga ke hari ini tiada jawapan, sebab itu kami serah pula kepada Agong.

“Semalam satu laporan forensik telah diberi kepada Bukit Aman dan mereka telah menyerahkan laporan itu kepada Peguam Negara, bagaimanapun kertas siasatan belum dibuka.

“Hari ini kita mohon supaya Peguam Negara membuka kertas siasatan ini terhadap Azmin. Sekali lagi saya mohon PM mengeluarkan Azmin daripada barisan Kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. orang yang mengaku sepatutnya dihukum dahulu dengan hukuman berat. sambil mencari bukti orang yang tak mengaku.

Comments are closed.