Muhammad Ashnawi menunjukkan surat tawaran pengajian ke USIM yang diterimanya.
NILAI – “Tidak boleh digambarkan kegembiraan apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sehingga ibu turut menitiskan air mata,” itu adalah perasaan yang dikongsikan oleh siswa baharu USIM, Muhammad Ashnawi Azmi, 23 yang mengidap penyakit Bronchiolitis Obliterance atau peparu tidak berfungsi.
Disebabkan penyakitnya itu, Ashnawi bergantung sepenuhnya kepada alat pernafasan 24 jam selepas dikesan mengalami penyakit ini sejak berumur dua tahun.
Beliau yang merupakan anak kedua dari tiga orang adik beradik ditawarkan menyambung pengajian Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di Fakulti Syariah dan Undang-undang.
Ashnawi pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat Tamhidi (Asasi) USIM selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak berjaya.
Ternyata rezeki dan doa ibu tercinta termakbul apabila bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah, Serdang berjaya mendaftar di peringkat Sarjana Muda di USIM hari ini.
Haslinda Hussin melihat surat tawaran pengajian ke USIM yang diterima anaknya, Muhammad Ashnawi semasa mendaftar di USIM pagi ini
“Saya perlu bergantung kepada penggunaan mesin ini sepanjang masa kerana paru-paru di sebelah kanan sahaja berfungsi manakala disebelah kiri tidak. Doktor menyarankan saya menggunakan mesin oksigen portable (mudah alih) ini sejak kecil lagi.
“Dahulu lebih besar saiznya tetapi mesin yang baru diterima pada 2016 ini lebih kecil dan ringan yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor berharga RM18,000 seunit. Di rumah ada sebuah mesin sebegini tetapi saiznya lebih besar tetapi bukan portable, justeru saya hanya gunakan semasa berada di rumah sahaja”
“Saya masih menerima rawatan secara berkala tiga bulan sekali di Hospital Serdang. Saya anggap penyakit ini satu ujian daripada Allah SWT dan pastinya ada hikmah tersendiri. Saya pernah beberapa kali mengalami koma dan paling lama ialah selama 14 hari pada tahun lepas.
“Ia berlaku semasa saya tidur dirumah dan doktor memaklumkan puncanya oksigen tidak sampai ke otak” kongsi beliau yang memiliki Diploma Syariah daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Mengakui pergerakan dan aktivitinya agak terbatas sejak dari kecil, tetapi ia juga menjadi satu motivasi kepada dirinya sendiri untuk sentiasa membuat yang terbaik dalam batas kemampuan beliau.
Menyimpan azam yang tinggi untuk menamatkan pengajian yang cemerlang di USIM nanti, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila menzahirkan rasa terima kasih kepada ibunya, Haslinda Hussin yang  telah banyak berkorban untuk beliau selama ini.
USIM pada hari ini menerima pendaftaran pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020 seramai 2,566 orang dengan 28 orang daripadanya merupakan pelajar antarabangsa.
Para pelajar baharu akan mengikuti program taaruf (suai kenal) yang diaturkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM mulai Rabu hingga Sabtu ini. – MalaysiaGazette