Reaksi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca Yasin sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin hadapan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 7.20 malam di Masjid Negara di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 05 SEPTEMBER 2019.

Yang turut hadir, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkenan hadir pada majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputraan Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto NOOREEZA HASHIM, 05 SEPTEMBER 2019.

Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah. Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah di situ sebelum berangkat meninggalkan majlis pada pukul 9.10 malam.

Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Seri Paduka dijadual berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat yang akan berlangsung di sini, esok.

— BERNAMA