KUALA LUMPUR – Kempen utamakan membeli produk muslim anjuran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendapat sokongan rakyat, walaupun mendapat tentangan pihak tertentu yang diketuai DAP.
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berkata, apabila DAP dan sekutunya gusar serta lantang membantah muafakat ekonomi ummah itu, bermakna kempen berkenaan berjaya.
“Bukti kejayaan kempen ini adalah kegusaran dan kelantangan DAP serta sekutu mereka membantah muafakat ekonomi ummah ini.
“Bukan sahaja di kalangan parti politik sekutu DAP, mereka juga telah mempergunakan ahli akademik bagi menyokong tindakannya,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Beliau mengulas kenyataan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Ghouse Nasuruddin yang menyatakan sokongan Pas kepada kempen tersebut menunjukkan kedangkalan dan pandangan singkat parti itu terhadap bagaimana pasaran bebas berfungsi, terutama bagi sebuah negara dagang seperti Malaysia.
Ini kerana, menurut Mohamad Ghouse, Malaysia banyak bergantung kepada urusniaga dagangan dunia, juga pelaburan asing langsung.
Pensyarah itu juga menuduh sokongan Pas itu bermotif dan dimotivasi oleh niat politik.
Menurut Mazli, isu kempen itu perlu dilihat dengan perspektif yang betul dan ia tidak pernah serta tanpa niat untuk memboikot barangan non-Muslim.
“Ia hanyalah seruan agar umat Islam mengutamakan barangan buatan muslim seboleh mungkin. Sebab itu seruan yang digunakan adalah “Buy Muslim-Made First”, bukan “Buy Muslim-Made Only”.
“Sudah tentu seruan ini untuk memperkukuhkan lagi blok ekonomi umat Islam bagi menaikkan dan memperkukuhkan ekonomi ummah dengan membeli produk muslim seboleh mungkin, tanpa mengetepikan blok ekonomi lain.
“Blok ekonomi muslim ini tidak ada bezanya dengan blok ekonomi yang juga wujud dalam suasana pasaran bebas di peringkat dunia,” ujar beliau.
Katanya, sebagai pensyarah, Mohamad Ghouse sudah tentu pernah mendengar blok seperti NAFTA, AFTA, EEC, APEC, AEC, RCEP dan sebagainya.
Semua blok ekonomi itu, katanya diwujudkan untuk memberi keutamaan dan faedah kepada negara peserta yang akhirnya akan memperkukuhkan ekonomi negeri berkenaan.
Beliau juga mengingatkan, walaupun blok ekonomi itu wujud, negara peserta tidak dihalang untuk berdagang dengan negara lain di luar blok dengan memberi pilihan di tangan masing-masing.
“Adakah negara yang terlibat dalam blok ekonomi dunia ini dangkal dan berpandangan singkat bagaimana ekonomi pasaran bebas dunia berfungsi, sebagaimana dihujahkan Mohamad Ghouse?,” soal Mazli.
Beliau turut menepis tuduhan pensyarah itu bahawa sokongan Pas itu bermotif dan dimotivasi oleh niat politik.
“Sememangnya ekonomi dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika ianya benar-benar wujud sekali pun, tidak ada apa yang salahnya dengan tindakan tersebut.
“Tidakkah semua blok ekonomi dunia juga mempunyai niat dan bermotif politik? Tidakkah APEC diwujudkan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menyaingi idea EAEC yang dicetuskan oleh Tun Mahathir (Mohamad) tahun 1997 dulu?
“Tidakkah inisiatif TPPA yang juga dipelopori oleh AS dengan objektif politik bagi meminggirkan China daripada dagangan dengan negara lokasi strategik dunia?,” katanya.
Kata beliau, sebagai tindak balas China mengemukakan idea RCEP dan bukankah itu juga ada niat politik?
Pas, tegasnya tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum dalam apa sahaja yang diperjuangkan termasuk ekonomi dan politik.
“Sebab itu dalam Pas sendiri ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang menghimpunkan semua bangsa dan agama. Sokongan yang berikan oleh Pas kepada insiatif kempen itu hanya dengan niat untuk penyatuan ummah melalui muafakat ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette