SHAH ALAM – Pas Selangor akan menghantar kira-kira 11,000 ahlinya ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menjayakan program bersejarah Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang berlangsung pada 13 dan 14 September ini.
Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, arahan itu telah dikeluarkan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi untuk berhimpun bersama ahli dan penyokong UMNO di seluruh negara.
Kata beliau, program bersejarah itu dengan kemuncaknya Pemasyhuran Piagam kerjasama Pas-UMNO diyakini akan menyemarakkan lagi sokongan rakyat khususnya orang Melayu dan Islam.
“Bagi memastikan kejayaan program ini, Dr. Ahmad Yunus telah mengeluarkan arahan agar Pas Selangor diwakili oleh sekurang-kurangnya 11,000 penyokong dan ahli.
“Mereka akan berhimpun bersama lautan penyokong dan ahli Pas serta UMNO seluruh negara selama dua hari di PWTC.
“Semoga kehadiran yang besar ini akan memberi isyarat dan harapan kepada semua pihak bahawa Piagam Penyatuan Ummah ini mendapat restu dan sokongan seluruh rakyat dan bakal melakarkan landskap baharu politik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette