Fuziah Salleh

KUANTAN – Tempoh percubaan dalam skala kecil perlu dilaksanakan untuk melihat keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) baru perlombongan dan pengeksportan bauksit, yang berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata pelaksanaan itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa walaupun SOP baru telah diperkenalkan kerana aspek perlombongan bauksit melibatkan kesihatan dan keselesaan rakyat.

“Kita perlu berhati-hati dan kena lihat dahulu keputusan daripada projek rintis SOP baru. Jika SOP ini benar-benar boleh dipatuhi dan dapat mengelak pencemaran berlaku, baharulah ia boleh dilaksanakan di tempat lain.

“Lokasi untuk projek rintis SOP ini juga perlu diperhalusi supaya tidak berada di kawasan berhampiran sungai kerana kita tidak mahu berlaku pencemaran air, terutamanya pencemaran sungai yang membawa kesan amat bahaya,” katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Khidmat Bakti Sempena Kejadian Ribut Peramu Jaya di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Penjara Pahang Datuk Ab Basir Mohamad.

Majlis itu diadakan bagi menghargai sumbangan 15 Orang Kena Selia (OKS) Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 di sini, membaiki 19 buah rumah di Kampung Peramu yang rosak akibat ribut yang diadakan selama tiga hari bermula 27 Ogos lepas.

Fuziah juga berpandangan tempoh percubaan itu seharusnya dilakukan antara tempoh setahun ke dua tahun, dengan pemantauan rapi daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita juga perlu ada ‘baseline’ kualiti air dan udara sebelum projek rintis ini bermula supaya kita mempunyai bacaan yang benar jika berlaku pencemaran. Usaha memastikan perlombongan bauksit tidak mencemarkan alam sekitar memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi,” katanya.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengumumkan SOP perlombongan dan pengeksportan bauksit mula berkuat kuasa, selepas moratorium terhadap aktiviti itu ditamatkan pada 31 Mac lepas.

Tempoh moratorium bermula pada 15 Jan 2016 ekoran rungutan penduduk berhubung masalah pencemaran daripada aktiviti perlombongan bauksit yang menyebabkan daerah Kuantan disaluti debu merah sehingga mendapat jolokan ‘Planet Marikh’.

Sementara itu, Fuziah berkata pejabatnya bersedia untuk memberi peluang kepada OKS untuk terlibat dalam lebih banyak program kemasyarakatan sekitar daerah ini, ekoran kejayaan projek baik pulih itu.

“Program seperti ini membantu OKS membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat yang membuatkan mereka rasa lebih dihargai. Ini juga membolehkan kita mengubah stigma terhadap banduan yang sebelum ini tersilap langkah,” katanya.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

SOP perlombongan bauksit berkuatkuasa hari ini