KUALA LUMPUR – Menamatkan skim pencen bagi penjawat awam dan pada masa sama memperkenalkan jawatan secara kontrak mulai tahun 2020 bakal mengundang ancaman kepada keselamatan negara.
Ketua Penerangan penaja Pergerakan Wira Putra, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, semua dokumen dan data kerajaan yang termaktub bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan mudah diakses kebolehcapaiannya oleh kakitangan kontrak.
“Isu ini bukan sekadar menjadi pengkhianatan kepada penjawat awam, malah bakal mengundang ancaman kepada keselamatan nasional.
“Kerajaan sekarang begitu lemah dalam mentadbir urus negara hingga tiada lagi jaminan yang baik bagi bakal penjawat awam.
“Tindakan ini akan meletakkan semua dokumen dan data kerajaan berdepan dengan risiko seperti ketirisan, rasuah dan penjualan maklumat kepada musuh negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sedangkan dokumen, data dan penjawatan awam dalam badan serta agensi kerajaan adalah terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 [Seksyen 2 Tafsiran Penjawat Awam (B)]
Katanya, pengawalan pengawasan terhadap dokumen rasmi negara, dokumen rahsia negara serta dokumen berprofil tinggi menjadi sukar dan mustahil untuk diawasi.
“Ianya menjadi terlambat untuk dibendung atau dihalang sekiranya dokumen dan data kerajaan tersebut disalahgunakan.
“Penamatan pengambilan jawatan tetap dan penghapusan skim pencen ini benar-benar memperlihatkan ketidakadilan kerajaan kepada penjawat awam.
“Ini kerana pekerja baharu yang bakal dilantik secara kontrak itu pasti majoriti dari kumpulan anak muda dan graduan baharu, mereka akan dipergunakan sepenuhnya bagi mendukung misi visi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette