Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes yang mendakwa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) gagal dalam sektor penerbangan hanyalah pandangan syarikat itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

“Tak apalah, itu pandangan AirAsia. Saya tak ada komen,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia Datuk Baharin Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau mengulas laporan media semalam, berhubung dakwaan Fernandes bahawa MAVCOM gagal dalam sektor penerbangan dengan memberikan tujuh sebab, antaranya badan itu memperkenal dasar birokrasi dan suruhanjaya itu telah menolak beberapa permohonan laluan walaupun hak trafik dua hala sudah tersedia dengan negara lain.

BACA: https://malaysiagazette.com/2019/09/09/mavcom-gagal-dalam-sektor-penerbangan-fernandes/

Dalam perkembangan lain, Loke berkata pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang dilancarkan tahun lalu sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat, dapat diperkembangkan lebih luas lagi.

Beliau berharap inisiatif kerajaan tersebut terus mendapat sokongan Kementerian Kewangan dalam pembentangan bajet Oktober depan.

“Sebab itu kita memerlukan dana daripada Kementerian Kewangan dan harap ia akan terus diberikan sokongan kementerian itu dalam bajet akan datang,” katanya.

— BERNAMA