KUALA LUMPUR – Akta Hasutan bukan undang-undang berat sebelah atau kuno sebaliknya fungsi akta itu amat luas yang bertujuan mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.
Exco penaja Pergerakan Wira Putra Malaysia, Haziq Aizuddin Subhi berkata, berikutan itu sayap parti berkenaan membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Kata beliau, penghapusan akta itu ibarat mencabut kuku dan taring penguat kuasa sekaligus mengancam keselamatan nasional.
“Wira Putra membantah sekerasnya sebarang usaha untuk memansuhkan akta ini demi kepentingan rakyat Malaysia.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mengawal pergerakan kabinet dan Vui Keong dilihat seperti memberi kenyataan awal sebelum sebarang keputusan kabinet dibuat.
“Sebagai menteri profesional, beliau tidak seharusnya membuat spekulasi dan mendedahkan sebarang info dalaman yang merupakan maklumat sulit selagi mana ianya belum dibuat keputusan majoriti oleh kabinet dan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan PH bertindak terburu-buru untuk membuat perubahan drastik tanpa melihat kepentingan di sebalik akta itu dan bagaimana fungsinya mengekalkan keamanan negara selama 62 tahun.
Beliau yang juga Ketua Biro Undang-Undang dan Pengaduan Awam Wira Putra Malaysia menjelaskan, Kontrak Sosial 1948 perlu dihormati dan akta itu adalah pelindung utama kontrak tersebut.
“Akta Hasutan 1948 ini bukan sahaja melindungi isu sensitif bagi menjamin keharmonian kaum dan keselamatan rakyat, malah dipinda pada 1971 selepas negara tragedi 13 Mei 1969.
“Peristiwa berdarah itu berlaku sehingga memaksa Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak mengisytiharkan darurat.
“Secara akademik, Akta Hasutan ini bukan lagi akta penjajah kerana ianya telah dipinda dan diperkukuhkan lagi penambahbaikannya oleh Parlimen,” ujarnya.
Menurut Haziq Aizuddin, perkembangan mutakhir ini amat membimbangkan dan terlalu banyak peristiwa serta kenyataan sensitif ibarat api dalam sekam telah dikeluarkan oleh pemimpin PH.
Maka tegasnya, Akta Hasutan boleh dijadikan instrumen berkesan oleh pihak keselamatan bagi menangani isu yang mudah mencetuskan pergaduhan antara kaum.
Kata beliau, akta itu juga pelindung dan benteng demokrasi yang akan terus terjamin dalam sistem kehidupan rakyat Malaysia.
“Jika berlaku sekali lagi huru hara seperti 13 Mei 1969, berkuburlah demokrasi. Hakikat inilah wajib dihayati agar semua pihak mempertahankan Akta Hasutan 1948.
“Wira Putra sekali lagi menegaskan sebarang usul untuk memansuhkan akta ini perlu kajian dan perbincangan semua pihak dan diharapkan kerajaan PH tidak membuat sebarang keputusan sewenangnya tanpa mengambil kira situasi semasa seperti ketegangan antara kaum dalam negara.
“Pemansuhan adalah satu jalan singkat dan hanya akan membuka ruang kepada pergolakan antara kaum,” katanya. – MalaysiaGazette