KUALA LUMPUR – Pas mendesak pihak berkuasa menyiasat ‘sehingga ke lubang cacing’ mereka yang mendalangi projek penjualan MyKad kepada warganegara asing.
Pas juga mahu pesalah terbabit dikenakan hukuman mati kerana tindakan menipu dan menjual MyKad adalah perbuatan khianat serta cubaan untuk mensabotaj kedaulatan negara.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, Pas percaya penipuan dan penjualan MyKad yang terbongkar mutakhir ini hanyalah tip of the iceberg.
Kata beliau, tidak mustahil projek MyKad itu turut membabitkan penjualan hartanah, aktiviti ekonomi gelap, sistem keselamatan negara dan kepentingan politik.
“Sekiranya ramai warganegara asing seperti dari China dan Hong Kong, di manakah penempatan mereka? Apakah pekerjaan dan tujuan mereka datang ke sini?
“Pada masa sama, kita juga bimbang dengan ratusan ribu permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia yang didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menyatakan, adakah proses tapisan yang telah ditetapkan oleh kerajaan berjalan dengan telus atau mengapa tangkapan dibuat mendapati mereka tidak tahu berbahasa Melayu?
Kata Tuan Ibrahim, dalang penipuan dan penjualan MyKad sangat jahat dan aktiviti itu pasti dikendalikan oleh komplot yang besar lagi terancang.
“Kedaulatan negara dalam bahaya dan akan tergadai disebabkan oleh aktiviti mereka ini,” katanya. – MalaysiaGazette