Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik Pas, UMNO yang bakal dimeterai esok diharap terus memberi manfaat kepada seluruh umat Islam, orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Wira Parti Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, usaha itu disambut baik kerana ia membantu mengukuhkan silaturahim umat Islam dan orang Melayu yang juga dituntut dalam agama.

Katanya, Wira Putra menyambut baik kerjasama itu atas dasar kewujudan inisiatif dua parti Melayu Islam yang lama di Malaysia dan mula senada serta sederap setelah Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRU14 tahun lalu.

“Manakala kemenangan Pas hanya terhad di Kelantan dan Trengganu sahaja serta jumlah kerusi Parlimen yang kecil.

“Kita berharap usaha ini bukan sekadar retorik pemimpin politik yang ingin mengekalkan kedudukannya sahaja, sebaliknya pastikan memberi kekuatan kepada agenda perjuangan Melayu Islam, tidak seperti yang berlaku sebelum ini, retorik sahaja lebih, tapi akhirnya menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut beliau, Wira Putra berpandangan penyatuan ummah itu merupakan kerjasama politik.

Kata beliau, ummah itu sendiri lebih luas, bukan monopoli Pas dan UMNO sahaja.

“Setiap usaha perlu dimulakan dengan langkah pertama, namun penyatuan dan perpaduan ummah harus meliputi seluruh pihak yang berkenaan secara inklusif, bukan selektif.

“Kita juga berharap jangan pisang berbuah dua kali dan kerjasama ini bukan kerjasama untuk memenangi PRU semata-mata disebabkan kerana sudah kehilangan kuasa.

“Sebaliknya, harus memberi fokus sebenar-benarnya dalam memperjuangkan agenda Islam dan Melayu,” katanya.

Menurut Nasrul Ali Hasan, Parti Putra akan teruskan usaha yang telah dimulakan sejak diluluskan ROS pada 8 Mei lalu bagi memperjuangkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Katanya, parti itu akan memastikan hak kumpulan majoriti di Malaysia tidak sewenangnya dipergunakan bagi kepentingan politik rakus pemimpin yang ibarat syaitan bertopengkan manusia.

“PUTra sedang membina rumah dan insya-Allah rumah yang dibina ini akan ditinggalkan kukuh oleh pemimpinnya untuk generasi pewaris, anak dan cucu orang Melayu serta Bumiputera di bumi Malaysia ini.

“Pada 28 September ini bakal menjadi tarikh keramat bagi kita mengadakan hari pelancaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia sebagai parti alternatif Melayu dan pribumi di Malaysia.

“Ia akan dilancarkan di tanah penuh sejarah bagi pejuang Melayu yang juga satu-satunya tanah yang telah digazetkan khusus untuk orang Melayu di bawah seliaan Malay Agricultural Settlement (MAS) sejak 1900 iaitu di padang Kampung Bharu, Kuala Lumpur pada jam 3 petang,” katanya.

Beliau menjemput semua pejuang agama, bangsa dan Tanah air hadir beramai-ramai dan digalakkan semua untuk bertanjak bagi menjadikan ia sebagai satu lagi momen yang bersejarah di Kampung Baru. – MalaysiaGazette