Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerima pelukan daripada Naib Presiden PAS, Idris Ahmad (dua kiri) selepas selesai menunaikan solat jumaat pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO berkerjasama demi merealisasikan dasar kepembangkangan di negara ini, kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Ujarnya, sebagai pembangkang, Pas seharusnya bersama UMNO dalam memastikan segala yang direncana kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan rakyat.

“Kenapa Pas boleh kerajaan dgn UMNO? Ada pembangkang lawan pembangkang? PH kerajaan jadi kami pembangkang, tidak hairan Pas-UMNO boleh bersama,” katanya di Himpunan Penyatuan Ummah di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Idris berkata, PH nampaknya tergugat dengan kerjasama antara Pas-UMNO yang mempunyai ahli yang sangat ramai.

Justeru itu, pelbagai dakyah digunakan oleh PH bagi melihat kerjasama gagal.

“Mereka (PH) takut, gabungan antara dua parti gergasi. UMNO ada empat juta ahli, Pas satu juta ahli,” katanya sambil mendakwa DAP juga takut dengan kerjasama mereka.

Katanya, Pas pernah kerjasama dengan DAP namun kerjasama itu tidak lagi terjalin apabila Pas dikhianati oleh parti berkenaan.

“Mereka sebut macam macam samada Pas boleh kerjasama dengan UMNO, Lim Guan Eng yang tidak puasa pun boleh Pas buat kawan? Takkan tak boleh boleh dengan UMNO.

“Dulu kita kawan DAP, kita kenal luar dalam. Sebab itu kita tahu. Mula mereka tidak jejas apa yang Pas nak cakap tapi bila sampai mereka langgar sempadan, kita tarik balik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette