Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) kusyuk berdoa bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan bahawa penyatuan antara kedua-dua parti telah mendapat persetujuan bekas Mursyidul Am Pas, Allayarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Hadi berkata, perkara itu dipersetujui oleh Nik Aziz semasa hayat beliau sama seperti kerjasama Pas-UMNO pada 1970 lalu.

“Ta’awun ini ialah satu istilah sepakat dengan allahyarham Datuk Seri Nik Aziz masa beliau masih hidup lagi.

“Kerjasama masa 1970 lalu adalah ta’aruf kerjasama. Dan kita kena perkenalan perkataan baru iaitu cooperation.

“Itu dibincang oleh Majlis Syura Ulama di masa Nik Aziz masih hidup lagi,” katanya dalam sidang media selepas kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyatuan ummah atau kerjasama antara Pas-UMNO adalah selaras dengan kehendak bapa saudaranya, Nik Aziz Nik Mat.

“Andai Almarhum Tok Guru Nik Aziz masih ada, saya sangat mengenali beliau (Nik Aziz) dari kecil sampai ke tua, yang kebetulan bapa saudara (saya).

“Beliau sering kali menyebut soal perlunya umat Islam mencari jalan menyatukan umat Islam…kena cari jalan (satukan umat Islam),” katanya semalam.

Pas-UMNO hari ini memeterai piagam politik ke arah penyatuan kaum Melayu dan Bumiputera. -MalaysiaGazette