Kumpulan Firecracker yang merupakan mahasiswa UTeM telah berjaya merangkul kejuaraan dalam Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2019.

KUALA LUMPUR – Barisan Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2019 yang diadakan baru-baru ini.

Hasil inovasi barisan mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) ini telah berjaya mendahului 71 pasukan dari 20 buah universiti dalam negara yang menyertai cabaran yang dianjurkan oleh Shell Malaysia.

Menurut ketua kumpulannya, Muhammad Isa Ishak berkata, mereka telah membangunkan projek big vehicle blind spot monitoring for small vehicle lane change assist bagi menyertai pertandingan ini sejak bulan Julai lalu.

Jelas beliau, projek itu diinspirasikan daripada konsep Samsung smart truck yang menggunakan kamera bagi mengesan titik buta dan 4 LCD bagi pemaparan amaran kepada pemandu.

Ujarnya, menerusi ilmu yang dipelajari menerusi kursus teknologi kejuruteraan serta kepakaran di UTeM itu telah menyuntik kreativiti mereka bagi menghasilkan inovasi terkini bersesuaian dengan tema dan keperluan pertandingan Shell selamat sampai sasaran sifar zon bebas kemalangan.

“Menariknya, projek mereka ini telah mendapat sokongan daripada Jabatan Keselamatan Jalanraya dan Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka sebelumnya.

“Dengan sokongan hebat daripada kedua-dua jabatan kerajaan berkaitan jalanraya maka ianya turut telah memikat hati juri pertandingan ini sewaktu pembentangan projek ini di pentas akhir yang diadakan di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC) baru-baru ini” ujar beliau lagi.

Kemenangan sebagai juara bagi pertandingan ini melayakkan mereka menerima wang tunai berjumlah RM10,000.00, piala kejuaraan, pingat dan sijil penghargaan.

Katanya, projek ini telah dibangunkan kumpulan mereka yang dikenali sebagai Firecracker bersama dengan empat orang ahli kumpulan yang terdiri daripada Aiman Afeeq Saliman Yurid, Muhammad Zikrul ‘azeem Zakaria, Nadiah Izzati Mohd Rafi serta Mohd Faiq Aiman Ali.

Mereka berlima merupakan pelajar tahun tiga bagi program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik), FTKEE, UTeM.

Sementara itu projek ini telah dipantau dan dibimbing oleh pensyarah mereka Siti Nur Suhaila Mirin dan penasihat projek adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FTKEE Ir Dr Mohd Farriz Md Basar.

Seterusnya mereka berharap selepas ini projek inovasi mereka mendapat perhatian kerajaan Negeri Melaka kerana ianya boleh dipasang dan digunakan bagi pengangkutan awam di negeri itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim melahirkan rasa sukacita dan menyampaikan ucapan tahniah di atas kejayaan yang telah diraih oleh mahasiswa UTeM.

Beliau berharap agar pihak pensyarah dan mahasiswa UTeM terus aktif dan berdaya saing dalam pertandingan inovasi sebegini kerana ianya menyuntik daya kreativiti dan inovasi mereka di persada nasional dan antarabangsa.

“Senario ini diharap turut merangsang semangat para mahasiswa lain agar sama-sama menyerlahkan UTeM di mata masyarakat dengan budaya inovasi dan pembangunan manfaat bersama buat komuniti,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.