Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) bersalaman dengan Duta China ke Malaysia, Bai Tian (kiri) pada Majlis Pertukaran Program Bola Keranjang Malaysia-China di Wisma MABA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengikuti rapat perkembangan serangan dua loji minyak Aramco, Arab Saudi oleh pemberontak Yaman kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan memandang serius kejadian itu dan menganggap serangan itu tidak seharusnya berlaku.

“Pendirian kita mengenai serangan itu jelas sekali. Kita mengutuk dan berharap ia dapat diselesaikan di meja rundingan.

“Kita sentiasa memandang serius dan kita ada berbincang mengenai serangan ini. Kita memang tidak suka peperangan terutama berlaku ke atas orang awam, aset dan ekonomi sesebuah negara.

“Memang tindakan itu tidak baik sama sekali,” katanya selepas melancarkan program Malaysia-China Basketball Exchange dan sesi penyerahan bendera Malaysia kepada pasukan wanita kebangsaan Malaysia di Wisma MABA di sini, hari ini.

Semalam, Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman, mengganggu kira-kira separuh penghasilan keseluruhan syarikat berkenaan.

Serangan itu menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais, kata Putera Abdulaziz bin Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA.

Berikutan serangan itu, permintaan eksport minyak mentah Amerika Syarikat di perairan Teluk melonjak, kata pedagang dipacu oleh pengeksportan minyak mentah ke Asia dan Eropah.
Peningkatan itu berlaku selepas serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu lalu mengakibatkan pengurangan bekalan minyak global sebanyak lima peratus.

Serangan dron oleh pemberontak Houthi itu menjejaskan kira-kira separuh daripada pengeluaran minyak Arab Saudi dan merosakkan loji pemprosesan minyak mentah terbesar di dunia. – MalaysiaGazette