Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar menggesa pihak tertentu berhenti membuat spekulasi dan melemparkan dakwaan tidak berasas mengenai penjelasan Perdana Menteri berhubung soal Dr. Zakir Naik.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak mahu dakwaan tidak berasas tersebar dan menjejaskan hubungan persahabatan dan diplomatik yang akrab yang telah terjalin dengan India selama ini terjejas.

Beliau kesal dengan sikap beberapa pihak yang mengeluarkan komen berbaur tidak harmoni dalam menerusi beberapa saluran dan platform media sosial memanjangkan keraguan mengenai fakta dan kesahihan yang dijelaskan un Dr. Mahathir Mohamad dalam respon terkini mengenai pendakwah Islam kontroversi terbabit.

“Komen-komen itu bukan sahaja disalahtafsir dan sinis malah ia juga bersimpang jauh daripada kebenaran yang dijelaskan oleh pemimpin nombor satu kerajaan kita.

“PM secara ringkas dan benar menegaskan tentang perkara yang telah dibawakan dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada 5 September lalu di Vladicostok, Rusia.

“Saya boleh menjamin kesahihan maklumat itu sebab saya juga secara peribadi berada bersamanya ketika pertemuan itu berlangsung,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Wisma Putra petang ini.

 

Tambah Saifudin, kebetulan rakan sejawatannya dari India pula tidak berada semasa pertemuan dua pemimpin utama berkenaan di tempat itu.

“Saya secara tegas mendesak supaya pihak tidak bertanggungjawab di luar sana tidak spekulasikan dan melemparkan dakwaan tidak berasas dalam isu ini.

“Malaysia dan India mempunyai hubungan diplomatik yang begitu akrab selama lebih enam dekad lalu dan persahabatan ini memanfaatkan rakyat kedua dua negara selama ini dan akan diteruskan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette