SHANGHAI – Pihak berkuasa di selatan China telah menahan seorang juruterbang Amerika Syarikat yang bertugas dengan FedEx.

Penahanan itu dilihat menyukarkan lagi bagi pelancong dan wakil-wakil syarikat Amerika Syarikat untuk ke China.

Juruterbang tersebut ditahan ketika sedang menunggu masa untuk berlepas dari Guangzhou – hab besar FedEx.

FedEx dalam kenyataannya berkata, pihak berkuasa mendakwa menemui objek dalam bagasi juruterbang itu namun tidak menyebut secara spesifik.

Bagaimanapun, juruterbang itu dibebaskan dengan jaminan.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat tentang penahanan juruterbang itu,” kata FedEx dalam kenyataannya.

Wall Street Journal melaporkan juruterbang itu ditahan kerana membawa pelet bukan logam yang digunakan dalam senapang udara.

Suspek merupakan seorang veteran Tentera Udara Amerika Syarikat bernama Todd Hohn ditahan ketika mahu berlepas ke Hong Kong.

Air Line Pilots Association International, kesatuan yang mewakili juruterbang Amerika, enggan mengulas mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette