Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Zhari Ismail (dua kiri) beramah mesra bersama Pensyarah Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Madya Dr. Nurina Anuar (kiri), Pensyarah Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina UKM, Muhammad Nazir Alias (kanan) dan Moderator, Dr. Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani (dua kanan) pada Diskusi Isu-Isu Syariah ‘’Vaksin Menurut Islam’’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2019.

BANGI – Tidak adil kepada pengguna yang mengambil suntikan vaksin sekiranya mereka tidak diberikan maklumat secara tepat samaada vaksin yang diambil diperakui halal atau tidak.

Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Nurina Anuar, Kementerian Kesihatan digesa untuk mengumumkan kandungan sebenar vaksin berkenaan kepada umum.

Ini bagi mengelak timbulnya keraguan kepada pengguna beragama Islam terutama yang ingin menunaikan ibadah haji dan umrah.

“Memang tidak adil, sebab itu saya kata pada zaman sekarang kita tidak boleh sorok, kalau mereka tidak tahu vaksin ini punca daripada mana, mereka akan dapat maklumat daripada pihak lain.

“Ini lagi bahaya..lebih baik vaksin kita memang tidak halal tapi ada fatwa, di situ kita perlu bagi maklumat kepada umum.

“Mereka tidak boleh tolak kerana ini fatwa. Bagi saya beritahu lagi bagus daripada merahsiakan perkara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi isu-isu Syariah bertajuk Vaksin menurut Islam di UKM hari ini.

Diskusi yang sama turut menjemput pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zhari Ismail dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Muhammad Nazir Alias.

Pensyarah Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Madya Dr. Nurina Anuar berucap pada Diskusi Isu-Isu Syariah ‘’Vaksin Menurut Islam’’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2019

Jelas Nurina, pendedahan itu penting bagi menepis persepsi anti-vaksin yang kian meluas di negara ini.

“Kebanyakan penentang vaksin ini tahu, dan ada sebahagian cuma buat persepsi sahaja dan dengan cara atasi persepsi itu dengan bagi ilmu kepada umum mana yang halal dan tidak, kita kena jujur dan bagi tahu perkara sebenarnya,” katanya lagi.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan hanya boleh memberikan persijilan halal kepada sesuatu vaksin yang dikeluarkan namun tidak dibenarkan untuk meletakan logo halal pada vaksin berkenaan.

“Itu yang kita persoalkan sedangkan pemain luar antaranya negara-negara Eropah mahu penggunaan logo halal, mereka tidak ada masalah untuk letak pada produk mereka tapi mengapa kita tidak boleh letak?

“Ini kerana kementerian belum bersetuju untuk letak logo halal pada vaksin disebabkan berlaku penolakan kepada vaksin. Bila pesakit tahu vaksin itu tidak halal, mungkin mereka tidak akan terima,” katanya lagi.

Isu vaksin halal menarik minat pelbagai pihak terutama pengguna Islam sehingga wujud golongan anti-vaksin yang menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin khususnya kepada anak-anak mereka.

Sehinggakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar Ibu bapa berhenti mempersoalkan status suntikan vaksin imunisasi kerana ia sememangnya telah difatwakan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. -MalaysiaGazette