Hamzi Khairiri

KUALA LUMPUR – Medan Quantum Sdn. Bhd. (MQCars) melalui MQ Finique, sebuah anak syarikatnya yang berasaskan teknologi kejuruteraan tinggi terutamanya automatif, akan menceburi bidang pembuatan bas elektrik dengan pelaburan sebanyak RM20 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan MQCars, Hamzi Khairiri berkata, pelaburan itu akan digunakan untuk menghasilkan prototaip, membeli robot (robotic arms) , komputer dan mesin berteknologi tinggi serta kelengkapan bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan selain membangunkan sumber manusia.

“Bas elektrik ini yang disasarkan untuk dieksport, akan direka dan dibangunkan oleh MQ Finique menggunakan teknologi termaju meliputi penghasilan bateri keupayaan tinggi dan elektrik motor, casis badan serta alatan sokongan berkualiti tinggi,” kata Hamzi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyasarkan penggunaan 100 peratus kandungan tempatan dalam penghasilan akhir bas ini selain pematuhan terhadap standard Eropah.

Hamzi menjelaskan, MQ Finique diterajui oleh anak-anak muda tempatan berkepakaran dan juga berkemahiran dalam bidang kejuruteraan automotif turut membawa bersama pengalaman luas ketika mereka bekerja di Eropah, Jepun selain dalam negara.

Antaranya, kata beliau, Pengarah Urusan MQ Finique,

Ruslin Tamsir

, mempunyai pengalaman kerja yang luas dengan syarikat automotif terkemuka dunia seperti Continental, Bosch dan Harman.

Bahkan pernah berkhidmat dengan syarikat pembuat kereta terkemuka dunia seperti McLaren, BMW dan Volvo.

Ruslin juga merupakan pemegang paten melibatkan kereta McLaren P15 Senna yang dibangunkan dengan sendiri pada tahun 2017.

“MQ Finique kini beroperasi di Autoville @Cyberjaya, iaitu sebuah kawasan industri automotif pertama dibangunkan berhampiran pusat pentadbiran negara, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

“Pembabitan kami dalam pembuatan bas elektrik juga sebagai menyahut cabaran kerajaan yang mahukan syarikat pengimport kenderaan AP (permit import) terbuka mempelbagaikan jenis perniagaan dan tidak bergantung kepada hanya satu bidang perniagaan semata-mata,” kata beliau.

Hamzi berkata, usaha untuk menghasilkan bas elektrik telah dirintis sejak tahun 2016 dengan melakukan penyelidikan dan mempelajari sistem pengangkutan awam di Malaysia serta negara lain terutamanya Eropah dan Jepun.

“Kami telah bekerjasama dan berbincang dengan pengusaha bas tempatan dan luar negara seperti Turki, United Kingdom dan Poland tentang potensi pemindahan teknologi dan kepakaran asing kepada MQ Finique,” kata tambah beliau.

Ditubuhkan pada bulan Oktober 2006, MQCars adalah sebuah syarikat pengimport kenderaan mewah dengan memiliki  sebuah pusat pameran terbesar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan tiga lagi bilik pameran, masing-masing  di Damansara, Kuala Lumpur,  Kota Bharu (Kelantan) dan Alor Setar (Kedah).

Syarikat pengimport kenderaan ini berkembang pesat selepas diambil alih oleh usahawan muda Hamzi yang mempunyai latar belakang dalam bidang jualan dan juga teknikal berkaitan automotif pada tahun 2016. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.