Salahuddin akan bangil tindakan undang-undang ke atas penyebar palsu ini.

KUALA LUMPUR – Salahuddin Ayub menafikan ada mengeluarkan kenyataan kononnya rakyat Malaysia perlu memberi peluang kepada bangsa Cina untuk mentadbir negara.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu menjelaskan, kenyataan yang telah diubah suai pihak tertentu itu kini tular di media sosial sehingga beliau menerima kecaman pelbagai pihak.

Katanya, beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan ia adalah berniat jahat serta merupakan fitnah terhadapnya.

“Merujuk kepada poster yang tular di media sosial berhubung kononnya saya telah menyatakan bahawa “bangsa Cina harus diberi peluang untuk mentadbir negara”.

“Ingin saya tegaskan, saya tidak pernah membuat kenyataan tersebut. Kenyataan itu adalah berniat jahat dan merupakan fitnah terhadap saya. Beberapa pengguna Facebook telah dengan sengaja menyebarkan kenyataan palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Salahuddin, beliau pada tahun 2017 cuma ada menyatakan bahawa Melayu Singapura telah muncul cemerlang dalam pelbagai sektor utama dan mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob kerana diangkat sebagai presiden Melayu kedua dan wanita pertama republik itu.

Justeru, katanya, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menghubungi peguamnya dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast