Skuad the Bos Gaurus meraikan gol jaringan Brendan Gan pada minit ke-13 dalam aksi suku akhir Piala Malaysia berdepan Selangor di Stadium Perak malam tadi.- Foto:MFL

KUALA LUMPUR – Juara bertahan Piala Malaysia, Perak menang tipis 1-0 ke atas Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak malam tadi.

Namun kemenangan tipis itu belum menjamin skuad the Bos Gaurus untuk melangkah ke separuh akhir memandangkan ujian berat menanti mereka di Shah Alam pada Sabtu ini.

The Red Giants yang memegang rekod kemenangan Piala Malaysia sebanyak 33 kali dalam sejarah kejohanan itu sudah pasti bersedia untuk mengecewakan pengunjung di halamannya nanti.

Malam tadi, Perak selaku tuan rumah bermula garang pada separuh masa pertama sebelum Penyerang Harimau Malaya, Brendan Gan Seng Ling berjaya merobek gawang lawan dan membuka gol kemenangan itu pada minit-13.

Pemain berbisa yang membantu skuad kebangsaan menang 3-2 ke atas Indonesia awal September ini di Jakarta dalam aksi kelayakan Pila Dunia 2022 menghukum pasukan pelawat dengan jaringan tunggal.

Skuad tuan rumah kendalian Mehmed Durakovic itu bermula agresif pada separuh masa pertama dengan mengatur serangan di gawang Selangor.

Brendan yang berganding dengan seorang lagi pemain sayap licik skuad kebangsaan, J.Partiban ternyata mengancam skuad kendalian B.Sathianathan.

Kedua-dua pemain itu telah mendapat beberapa peluang untuk mencipta gol di gawang gol Selangor.

Namun kesemua peluang menambah jaringan disia-siakan dan tidak menampakkan hasil.

Skuad Selangor yang beraksi seolah-olah hilang rentak bagaimanapun cuba bangkit semula pada separuh masa kedua selepas buntu mencari gol penyamaan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, nasib seolah tidak menyebelahi tetamu Perak apabila setiap percubaan dan serangan di gawang skuad Kejor Yop Skor itu dipatahkan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Pada minit ke-53 perlawanan Skuad Seladang mendapat peluang terbaik membuka gol kedua menerusi Brendan.

Malangnya, rembatan Brendan hasil hantaran licik Partiban berjaya ditepis Mohd. Khairulazhan.

Skuad the Red Giants yang dikemudi Taylor Francis George Regan telah melakukan beberapa percubaan di kawasan gol Perak namun gagal menghasilkan gol penyamaan sebelum perlawanan tamat dengan 1-0 memihak kepada Perak.

Kemenangan 1-0 tidak bermakna Perak boleh selesa kerana ia belum cukup selamat untuk mara ke separuh akhir kali ini.

Durakovic ternyata menunjukkan nada tidak berpuas dengan kemenangan tipis anak mudanya berdepan Selangor semalam.

“Aksi yang baik keseluruhannya, ya kita tidak mahu membolos gol dan ia berjaya dilakukan. Kita sepatutnya menjaringkan mungkin dua atau tiga gol lagi berdasarkan peluang yang dapat semasa perlawanan tadi, tapi yang penting kita menang di halaman sendiri,” katanya.

Perak akan bertandang ke Stadium Shah Alam 29 September ini untuk aksi suku akhir kedua dan membawa tugas berat untuk mengekalkan kelebihan satu gol dan menambah jaringan di tempat lawan.

Walaupun kalah tipis, Selangor masih dilihat berpeluang untuk mengejutkan Perak apabila beraksi di halaman sendiri nanti apabila Sathiananthan optimis anak buahnya akan mengubah kelebihan Perak di Stadium Shah Alam walaupun mengakui ketiadaan beberapa pemain utama telah melumpuhkan sedikit aksi mereka.

Selangor dijangka akan cuba mengubah agregat defisit 0-1 menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri di Shah Alam nanti dengan strategi serangan lebih mantap selepas Sathianathan mengakui kelebihan Perak yang dibarisi pemain berstamina tinggi dan laju sepanjang 90 minit pertama.-MalaysiaGazette