Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hadir pada Majlis Pelancaran Galeri Merdeka 118 di Kenanga International Building, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad maklum mengenai keputusan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk melantik ketua pegawai eksekutifnya yang baharu, Jalil Rasheed sebelum pengumumannya dibuat.

Menurut Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, keputusan untuk melantik Jalil dibuat secara muafakat dan melalui proses yang sangat ketat dan telus.

“Tidak benar (PM tidak tahu mengenai pelantikan Jalil). PNB menggunapakai proses urus tadbir sangat ketat dan teliti bermula dari proses pencalonan lagi.

“Kami membentangkan (nama calon) kepada ahli lembaga pengarah dan sebelum membentangkannya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Beliau maklum yang kami akan melantik Jalil pada ketika itu cuma mungkin beliau tidak mengetahui tarikh yang tepat bilakah pengumuman akan dibuat,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan galeri Merdeka 118 di sini hari ini.

Jelas Zeti, terdapat kemungkinan bahawa Perdana Menteri tidak mahu mendahului PNB di dalam membuat pengumuman mengenai pelantikan berkenaan.

“Kami perlu melalui banyak proses termasuk mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.

“Mungkin pada ketika itu, Perdana Menteri tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang boleh mendahului pengumuman rasmi oleh PNB,” ujarnya lagi.

Pada 28 Ogos lalu, PNB menerusi satu kenyataan media mengesahkan laporan mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Invesco (operasi Asia Tenggara) itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd.

Sehari selepas pengumuman tersebut, Perdana Menteri ketika ditanya pemberita sama ada Jalil adalah calon yang sesuai bagi mengemudi PNB, Mahathir berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, PNB berada di bawah Zeti dan bekas Gabenor Bank Negara itu tidak memaklumkan apa-apa mengenainya.-MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

 

TERKINI : “Tan Sri Zeti Akhtar” Tak Beritahu Saya Pun Perlantikan Presiden PNB Baharu – Tun Mahathir