Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah melawat tapak pameran ketika hadir pada Persidangan Perisikan Pasaran Pelancongan Kesihatan Tahunan Terkemuka (INSIGHT 2019) di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 24 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak bersetuju dengan pendapat pakar ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau bagaimanapun menjelaskan, cadangan Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah itu agar kerajaan menangguhkan projek itu tidak salah.

Namun tegas beliau, bagi mengelak kerugian dari segi pampasan, kerajaan memerlukan keputusan menang-menang selepas berunding dengan kerajaan China.

“Saya tidak bersetuju namun apa yang dikatakan Jomo tidak salah. Seperti yang kamu tahu, kita telah kurangkan kos ECRL.

“Pada masa sama, kerajaan China turut komited untuk terus melabur di Malaysia dan membeli minyak sawit kita.

“Kita kena bincang bukannya cincang projek ECRL ini,” katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan Jomo yang juga bekas Ahli Majlis Penasihat Kerajaan agar kerajaan menangguhkan projek itu susulan keterangan yang timbul pada perbicaraan rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazrudin baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa projek ECRL adalah antara projek yang dirancang untuk menyelamatkan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam responnya menolak cadangan itu sambil menyindir pengkritik ECRL berunding sendiri dengan kerajaan China.

Projek ECRL dilancarkan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Julai lalu dengan laluan berbeza dengan kos sebanyak RM44 bilion iaitu hampir separuh daripada kos awal sebanyak RM81 bilion.

Sebelum perbicaraan, Najib menafikan tuduhan bahawa ECRL dan projek-projek lain yang dikontrakkan kepada firma-firma China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB yang bermasalah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ECRL akan dilancar semula hari ini