Aireen Omar menerima Anugerah Pemangkin Digital Tahunan daripada Pengarah Urusan IDC ASEAN, Sudev Bangah.

KUALA LUMPUR AirAsia telah meraih anugerah Pemangkin Digital (Digital Transformer) Tahunan untuk Malaysia di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

Anugerah ini mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang dalam projek melalui sinergi pengurusan teknologi maklumat dan perniagaan, serta pengeluaran produk dan perkhidmatan digital dalam jangka masa yang berterusan.

AirAsia meraih anugerah tertinggi IDC DXa atas kecemerlangannya menggunakan pelbagai teknologi inovatif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih peribadi, mengoptimumkan pendapatan sampingan, meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan memacu transformasi kepimpinan, bakat dan infrastruktur untuk menyokong strategi digital baharu AirAsia.

Antara teknologi baharu tersebut termasuklah pengkomputeran awan, pengoptimuman tambang melalui pembelajaran mesin, chatbot yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ruang sembang menerusi aplikasi mudah alih, teknologi pengecaman wajah, dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes juga telah memenangi anugerah DX Leader yang mengiktiraf peranan beliau sebagai pemacu visi transformasi digital serta evolusi syarikat penerbangan tersebut kepada sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup digital.

Presiden Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures) Aireen Omar menerima kedua-dua anugerah tersebut bagi pihak AirAsia di majlis IDC Digital Transformation Summit 2019 di The St Regis Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, syarikat itu teruja untuk menerima anugerah-anugerah ini kerana matlamatnya adalah untuk mengubah tanggapan kepada dunia bahawa AirAsia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi sebuah syarikat digital.

“Kami berbesar hati kerana AirAsia diiktiraf sebagai pemimpin transformasi digital dan menghargai pengiktirafan oleh IDC,” katanya.

Sementara, Presiden Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures) Aireen Omar berkata, anugerah-anugerah ini tidak dapat dicapai tanpa Allstars yang turut berusaha untuk memenuhi visi digital syarikat.

“Tanpa penglibatan, ketabahan dan semangat mereka, kami tidak mampu mencapai sasaran dalam masa yang singkat. Tidak lupa juga rakan kongsi perniagaan yang memberikan sokongan padu, terutamanya Google Cloud, yang bakal menjadi pemangkin transformasi AirAsia kepada sebuah syarikat berpandukan teknologi Cloud 100 peratus yang pertama di Malaysia pada hujung tahun ini,” ujarnya.

Anugerah IDC DXa mengiktiraf syarikat yang berjaya merancang dan melaksanakan transformasi digital di dalam satu atau beberapa bidang perniagaan mereka melalui aplikasi digital dan inovasi yang mewujudkan pasaran baharu. – MalaysiaGazette