Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penarikan balik caj urus niaga yang dikenakan oleh bank komersial dalam beberapa transaksi menunjukkan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) tidak obses mengaut keuntungan.

Urus niaga bank yang dimansuhkan ialah transaksi tunai dan cek untuk pembayaran kad kredit dan bayaran balik pinjaman bank melalui kaunter sehingga RM2 dan melalui mesin deposit tunai (CDM) sehingga RM0.50.

Artikel berkaitan:Bank akur kritikan ramai, tarik balik pelaksanaan caj perkhidmatan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kesediaan ABM menerima baik nasihat Kementerian Kewangan supaya mendengar pandangan orang ramai dan pengguna berkenaan isu ini wajar dipuji.

Beliau berkata, caj urus niaga tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bawah pentadbiran kerajaan terdahulu bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran.

Namun, caj tersebut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada internet untuk menjalankan perbankan atas talian dan secara mudah alih.

Tambahnya, pemberhentian caj yang berkuatkuasa pada 26 September 2019, menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan. – MalaysiaGazette