PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan melancarkan dua portal dalam usaha memperkasakan bidang keusahawanan menerusi platform digital.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kedua-dua portal tersebut adalah Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat atau Portal MalaysiaBiz dan ScoreXcess.

Jelas beliau, ia akan yang menyediakan program, produk dan perkhidmatan keusahawanan.

“Portal MalaysiaBiz pada awalnya hanya menyediakan kemudahan fizikal untuk mendapatkan informasi pendaftaran dan pelesenan kini telah dinaik taraf dengan penambahan elemen baharu.

“Ia melibatkan urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan atas talian dan portal ini kini boleh dicapai melalui pautan www.malaysiabiz.gov.my,” katanya.

Beliau demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan menambah, ScoreXcess yang diterajui oleh Kumpulan SME Bank iaitu sebuah agensi kementeriannya yang merupakan inisiatif pertama ini di bawah program transformasi digital melalui anak syarikat milik penuhnya, Centre for Entrepreneur Research and Development Sdn. Bhd. (CEDAR).

Jelas beliau, portal itu merupakan salah satu daripada komponen utama Platform Digital PKS Kebangsaan yang bertindak sebagai portal sehenti.

“Fungsinya untuk usahawan mikro dan kecil mengakses peluang pembiayaan berdasarkan keperluan perniagaan mereka dengan agensi-agensi yang bersesuaian.

“Ia bukan melibatkan agensi di bawah kementerian sahaja namun kementerian lain dalam usaha menyeragamkan pembiayaan:

“Apa yang penting, ia mampu mempercepatkan proses permohonan pembiayaan kepada lima ke tujuh hari berbanding ketika ini yang mengambil masa lebih sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette