Dari kiri Pengarah Eksekutif SIL Kapten Tony Tan Han, Pengarah TMD Tengku Seri Temenggung Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud, Pengarah LMTSB Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohammed Noordin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif LMTSB Mubarak Ali Gulam Rasul dan Ketua Pegawai Kewangan LMTSB, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof

KUALA LUMPUR – Straits Inter Logistics (SIL) Berhad, menerusi anak syarikatnya Tumpuan Megah Development Sdn Bhd (TMD)memeterai Perjanjian Perkhidmatan Bunkering Bahan Api dengan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMTSB) – operator Pelabuhan Lumut yang mengendalikan lebih 500 kapal setiap tahun.

Kontrak selama setahun dengan pilihan satu tahun diperbaharui itu akan menjadikan perkhidmatan bunkering ke Pelabuhan Lumut sebagai portfolio tambahan bagi SIL.

LMTSB telah bersetuju untuk melantik TMD dengan hak eksklusif bagi mengurus, mengendali dan menyediakan perkhidmatan tersebut yang terletak di dalam kawasan terhad Pelabuhan Lumut namun tidak terhad kepada dermaga dan di kawasan perhentian bunker yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Straits Datuk Sri Ho Kam Choy berkata, TMD kini mengendalikan perniagaan lapan pelabuhan di Malaysia.

Melalui pemeteraian perjanjian dengan LMTSB, TMD berharap dapat membangunkan perniagaan asas bunkering di Lumut, seterusnya meluaskan perkhidmatan bunkering di kawasan pantai barat di Semenanjung Malaysia.

“Kerjasama dengan LMTSB merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan syarikat untuk membangunkan kolaborasi dengan pelabuhan strategik di Malaysia kepada bunker untuk kapal di dalam kawasan terhad pelabuhan.
“Tambahan pula syarikat menjangkakan kerjasama baharu menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan seterusnya,” katanya majlis menandatangi perjanjian kerjasama Perkhidmatan Bunkering Bahan Api di sini hari ini.

Hadir menandatangani perjanjian itu ialah Pengarah Eksekutif SIL Kapten Tony Tan Han, Pengarah TMD Tengku Seri Temenggung Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud, Pengarah LMTSB Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohammed Noordin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif LMTSB Mubarak Ali Gulam Rasul dan Ketua Pegawai Kewangan LMTSB, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof.

Mengulas lanjut, Kam Choy berkata, peluang untuk bekerjasama dengan LMTSB bakal membawa dimensi baharu bagi infrastruktur dua pihak yang membolehkan dua entiti menguasai potensi yang besar dalam industri.

Kerjasama dengan LMTSB menandakan pencapaian penting bagi Straits untuk mengembangkan perniagaan bunkering.

LMTSB atau lebih dikenali sebagai Pelabuhan Lumut memiliki dan menguruskan Terminal Maritim Lumut (LMT) di Kg Acheh, Lumut dan telah beroperasi lebih daripada 20 tahun.

Pelabuhan tersebut dibangunkan sebagai pelabuhan negeri dan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan pusat perindustrian Perak dan juga seluruh negara secara umumnya.

Pada tahun 2002, Pelabuhan Lumut memulakan operasinya dan menguruskan Terminal Pukal Lekir di Teluk Rubiah, yang mana ia mengendalikan arang 14,000,000mt setiap tahun. LMT terletak di lokasi strategik di Selat Melaka di Pantai Barat Semenanjung Malaysia di Perak.

Kam Choy memberitahu, 26 Jun lalu, TMD telah memeterai Perjanjian Perkhidmatan Peruntukan Bunkering dengan Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) untuk tempoh kontrak selama tiga tahun, dengan pilihan memperbaharui tidak lebih daripada dua tahun yang dipersetujui secara bersama.

BPSB yang juga subsidari Bintulu Port Holdings Berhad terlibat dalam perniagaan mengoperasi, menyelenggara, mengurus dan mengendalikan kemudahan serta perkhidmatan di dalam kawasan pelabuhan. – MalaysiaGazette