KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) meluluskan sebanyak 31 permohonan ATR, iaitu 100 peratus daripada kesemua permohonan yang diterima bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September lalu.

Daripada 31 permohonan ATR ini, 38.7% merupakan kelulusan untuk laluan domestik manakala 61.3% ialah untuk laluan antarabangsa.

Mavcom telah meluluskan sebanyak 12 ATR untuk laluan domestik, sepuluh ATR ke destinasi ASEAN, lima ATR ke China, tiga ATR ke destinasi Asia yang lain dan Australia, serta satu laluan ke India.

Daripada 31 ATR tersebut, sebanyak 14 ATR telah diluluskan bagi penerbangan yang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), tiga ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), serta 14 ATR bagi lapangan-lapangan terbang yang lain di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagi suku ketiga tahun 2019, Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan ATR tertinggi iaitu sebanyak 16 ATR, diikuti oleh Malindo Air dengan lapan ATR dan Malaysia Airlines Berhad dengan lima ATR bagi tempoh yang sama.

Di samping itu, sebanyak 19 ATR yang sebelum ni diluluskan oleh Mavcom, tidak digunakan oleh penerima ATR dan dikembalikan kepada Mavcom pada suku ketiga 2019.

Dalam tempoh tersebut, bilangan ATR tertinggi yang tidak digunakan oleh syarikat penerbangan adalah daripada Kumpulan AirAsia dengan lapan ATR, diikuti oleh Malindo Air dengan tujuh ATR.

Menurutnya, empat permohonan tambahan juga telah ditarik balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan dalam tempoh tersebut.

Bagi tempoh sembilan bulan dari 1 Januari hingga 30 September 2019, Mavcom telah meluluskan sebanyak 100 peratus daripada 135 permohonan ATR yang diterima dalam tempoh tersebut.

Ia terdiri daripada 48 ATR untuk laluan domestik, 45 untuk destinasi ASEAN, 21 untuk destinasi China dan 21 untuk destinasi Asia lain serta Australia.

Tambahnya, Kumpulan AirAsia telah menerima jumlah peruntukan ATR tertinggi untuk tahun ini, dengan 64 ATR. – MalaysiaGazette