Dr Mujahid Yusof

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, beliau sudah mengkaji kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi yang berbaur fitnah sebelum memintanya memohon maaf.

Beliau berkata, perkara itu bukan isu baru bahkan pihaknya mempunyai kes lampau terhadap Ketua Pemuda UMNO itu.

“Saya sudah kaji sebelum saya buat itu (kenyataan) dan kita ada kes kepadanya.

“Kalau dia tidak mohon maaf, kita tidak teragak-agak melihat pilihan-pilihan perundangan yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Maqasid di Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Asyraf Wajdi semalam yang menegaskan bukan dirinya sepatutnya minta maaf kepada pemimpin Amanah itu.

Menurut Asyaraf Wajdi, beliau tidak membuat apa-apa tuduhan atau dakwaan fitnah terhadap Mujahid berhubung dakwaan penjualan berita penjualan ekuiti tersebut Lembaga Tabung Haji di muka hadapan Utusan Malaysia pada 30 September 2019 dan portal ekonomi The Malaysian Reserve pada 27 September 2019.

Semalam, dalam hantarannya di Facebook, Asyraf berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Mujahid Yusof untuk segera membuat penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Tabung Haji bernilai RM2.6 bilion termasuk keseluruhan pegangan saham Tabung Haji dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Mujahid turut melahirkan rasa kesal apabila dirinya diminta meminta maaf sedangkan beliau menjadi mangsa fitnah kepada bekas timbalan menteri itu.

“Saya memberikan kepadanya seminggu, dia menjawab, saya pula kena minta maaf, dia kata saya, saya pula kena minta maaf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Mujahid yang perlu mohon maaf pada saya – Asyraf

Dr. Asyraf, tarik balik atau kena saman – Mujahid