Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – TNB Fuel Services Sdn. Bhd. (TNBF), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai Perjanjian Jualan Gas (GSA) bersama TNB dan TNB Connaught Bridge Sdn. Bhd. yang membolehkan penghantaran gas melalui kargo percubaan gas cecair asli (LNG) pertama.

Sebanyak 3.5 Trilion British thermal unit (TBtu) akan dihantar ke Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson dan Stesen Janaelektrik Jambatan Connaught di Klang.

Gas yang dibawa oleh kargo percubaan LNG dijangka digunakan oleh kedua-dua stesen janaelektrik itu dalam tempoh 14 hari dengan purata kuantiti harian sebanyak 270,000 Gigajoules (GJ).

Percubaan penghantaran kargo LNG ini bertujuan menguji Akses Pihak Ketiga (TPA) melalui Terminal Regastifikasi (RGT) di Sg. Udang, Melaka dan saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) yang dimiliki oleh Petronas Gas Berhad (PGB).

Ketika ini Petronas adalah pembekal tunggal yang membawa masuk kargo LNG dan menyalurkannya untuk sektor penjanaan tenaga.

Pindaan Akta Bekalan Gas 1993 yang berkuat kuasa pada 16 Januari 2017 menyediakan rangka kerja perundangan di Malaysia bagi sistem TPA, kata syarikat tenaga itu.

Ia membolehkan pihak ketiga mengakses fasiliti gas bagi mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya dapat meningkatkan kecekapan penghantaran, kualiti servis dan memberi pilihan pembekal yang lebih banyak kepada pengguna.

Di samping menandatangani GSA, TNBF turut memeterai Perjanjian Jualan Induk (MSA) dengan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. (SMTSB) bagi penghantaran gas melalui kargo percubaan LNG pertama.

Kolaborasi antara dua syarikat tenaga utama di Malaysia ini adalah bagi mengurus cabaran bersama dalam menguji sistem TPA buat pertama kali di Malaysia.

Kerjasama antara TNBF dengan SMTSB dapat menjimatkan kos dari segi harga gas lebih rendah berbanding harga kawalan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, perjanjian tersebut menyatakan komitmen TNB dalam menyokong dan mengurus liberalisasi pasaran gas asli di Malaysia.

“Transaksi perintis ini menjadi platform perkongsian pengetahuan bagi membolehkan semua pihak yang terlibat dengan sistem TPA mendapat maklum balas dan pengalaman bagi membangunkan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Amir Hamzah juga percaya bahawa kerjasama dengan SMTSB ini memberi gambaran kepada pasaran global LNG dan pembekal gas mengenai kesungguhan TNB dalam menceburi bidang perolehan gas.

Pengarah Urusan SMTSB, Shairan Huzani Husain berkata, SMTSB berbangga menjadi rakan kongsi TNBF dan PGB bagi pengimportan LNG pertama melalui TPA.

“Shell telah menjadi rakan tenaga yang dipercayai di Malaysia sejak lebih 125 tahun dan bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi sedia ada dan baru, bagi membangunkan masa hadapan.

“Syabas kepada TNB Fuel Services Sdn. Bhd. dan Petronas Gas Berhad atas kejayaan kerjasama yang menjadi mercu tanda ini,” katanya.

TNBF adalah pembekal utama arang batu dan bahan api kepada TNB dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan TNB.

Ia diberi kepercayaan untuk memperoleh dan menghantar bahan api pada kos yang optimum, jaminan kualiti dan stabil. Sebagai One-Stop Centre bekalan bahan api kepada semua stesen janakuasa.

TNBF bukan berorientasikan keuntungan yang mana penjimatan daripada pembelian bahan api yang cekap dan kos efektif disalurkan kepada kaedah penetapan tarif yang ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga. – MalaysiaGazette