Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia memanggil semula sebanyak 23,476 buah kenderaannya untuk menggantikan beg udara bahagian hadapan penumpang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Honda Malaysia berkata, kenderaan yang dipanggil itu pernah dipanggil sebelum ini.

Bagaimanapun, model jualan semasa tidak terjejas.

Katanya, penggantian beg udara Takata itu dibuat secara percuma kerana kosnya ditanggung oleh syarikat.

Pelanggan yang terjejas akan menerima surat pemberitahuan daripada Honda Malaysia dengan butir-butir panggilan semula dan bergantung kepada ketersediaan stok di mana-mana 95 wakil pusat servis.

Ini kerana, penggantian beg udara bagi 23,476 buah kenderaan Honda ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat tetapi Honda Malaysia memberi jaminan akan mempunyai stok yang mencukupi dalam jangka pendek.

Sehingga 1 Oktober, Honda Malaysia telah menyelesaikan lebih daripada 249,000 unit penggantian beg udara Takata.

Jumlah beg udara bahagian pemandu dan penumpang yang telah siap sepenuhnya adalah lebih daripada 537,000 unit atau nisbah siap 89%. – MalaysiaGazette