KUALA LUMPUR – Isu peralihan jawatan Perdana Menteri hanya akan selesai sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi penjelasan muktamad mengenainya.
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, untuk masa ini lebih baik kerajaan menumpukan kepada agenda pembangunan negara dengan menghentikan sebarang spekulasi yang boleh meresahkan rakyat dan menggugat kestabilan negara.
“Perbuatan sesetengah pemimpin parti komponen PH bercakaran di media sosial amat tidak matang. Ia menimbulkan persepsi tidak sihat rakyat yang sudah muak dengan aksi pemimpin yang lebih suka berpolitik,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Malah, kata beliau, ia turut menimbulkan keraguan terhadap kestabilan politik dan ekonomi oleh pelabur serta pemodal luar negara, sekali gus membantutkan agenda pemulihan ekonomi.
Katanya, hentikan dan ketepikan serta merta agenda peribadi kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada negara.
“Pas sekali lagi dengan tegas menyokong kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal menerajui Malaysia sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya. – MalaysiaGazette