KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih peka dengan kejatuhan besar import dalam semua kategori apabila merangka bajet tahun 2020, kata Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, kadar penurunan nilai import yang jauh lebih tinggi menggambarkan suasana ekonomi tempatan dan ia juga adalah petunjuk untuk ekonomi masa depan.

Pada bulan Ogos, kejatuhan import direkodkan untuk semua kategori: Barangan Perantaraan (jatuh 13.9%), Barangan Modal (-31.0%) dan Barangan Penggunaan(-12.8%).

Barangan perantaraan dan bahan mentah adalah import yang digunakan untuk industri pembuatan yang menyumbang kepada eksport untuk bulan-bulan kehadapan.

Barangan modal pula menggambarkan pelaburan dalam negara yang juga menyumbang kepada kegiatan ekonomi serta eksport untuk masa depan.

Import Barangan Penggunaan pula menunjuk kepada kesihatan ekonomi domestik. Jika ianya lemah, ia bermaksud rakyat sudah kurang berbelanja atau daya membeli sudah berkurang.

“Lagi membimbangkan ialah import barangan separa tahan lama (pakaian, kasut) dan barangan tahan lama seperti (peti sejuk, perabot, kereta, televisyen, telefon bimbit) telah jatuh 30.7 peratus dan 38.4 peratus masing-masing,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan nilai eksport untuk bulan Ogos susut 0.8 peratus berbanding tahun lepas manakala nilai import junam 12.5 peratus.

Secara keseluruhan, nilai perdagangan antarabangsa untuk bulan Ogos pula jatuh 6.6 peratus.

Untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilai eksport jatuh 0.4 peratus, nilai import jatuh 4 peratus dan nilai perdagangan jatuh 2.1 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast