KUALA LUMPUR – Kongres Maruah Melayu di Shah Alam Ahad ini tidak lebih untuk meraih sokongan orang Melayu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang semakin pudar.
Aktivis politik, Isham Jalil berkata, sejak PRU14 lagi, Perdana Menteri itu telah melemahkan orang Melayu dan menguatkan DAP, selain berjaya memecahkan parti PKR kepada dua puak.
Kata beliau, PKR yang sebelum ini mempunyai 50 Ahli Parlimen, kini tinggal 35 kerusi yang menyokong Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala 15 kerusi lagi kem Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Perpecahan ini menjadikan DAP mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai, iaitu 43 orang, sekali gus mempunyai kuasa paling kuat untuk membuat keputusan dalam kerajaan dan menentukan dasar.
“Dalam politik, sesiapa memegang jawatan tidak semestinya memegang kuasa kerana kuasa sebenar terletak di tangan ketua kepada kumpulan yang mempunyai sokongan terbesar.
“Dalam kes kerajaan PH kini, kumpulan ini adalah DAP dan ketuanya adalah Lim Kit Siang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Isham, jika jawatan tertinggi perdana menteri dipegang oleh orang yang tidak mengetuai kumpulan paling berkuasa itu, maka ia hanya perdana menteri boneka.
Sebab itu, katanya Tun Dr. Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh di bawah PH berbeza dengan beliau sebagai perdana menteri keempat di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu.
Dalam PRU14 Mei tahun lalu, jelas beliau, lebih 75 peratus daripada pengundi PH adalah bukan Melayu dan hanya 25 peratus orang Melayu yang berpecah pula kepada tiga kumpulan iaitu PKR, PPBM dan PAN.
“Penyokong majoriti dalam PH iaitu bukan Melayu itu dikuasai besar oleh DAP, bukan oleh parti Perdana Menteri iaitu PPBM. Dalam PH, orang Melayu adalah minoriti dan kebanyakannya berada dalam BN.
“Penyatuan Ummah antara UMNO dan Pas serta Muafakat Nasional dalam BN telah menguatkan lagi perpaduan di kalangan orang Melayu di Malaysia. Namun, percubaan Dr. Mahathir untuk menarik mereka menyokongnya dengan Kongres Maruah Melayu ini sebenarnya akan memecahkan dan menjatuhkan lagi orang Melayu.
“Jika Dr. Mahathir serius menyatu dan menyelamatkan maruah Melayu, dia boleh membawa partinya menyertai BN untuk menentang DAP, bukan menyuruh orang UMNO masuk parti kecilnya untuk menjadi hamba kepada DAP,” ujarnya.
Beliau berkata, ular lidi tidak boleh menelan sawa dan ini tentunya tidak masuk akal, lebih lagi jika UMNO berpecah dua dan separuh daripadanya masuk PPBM, tidak akan cukup untuk melawan dominasi DAP.
Ia kata Isham, akan hanya menambah terukkan lagi perpecahan orang Melayu yang kini pun sudah berpecah lima kerana Dr. Mahathir selama ini.
Oleh itu, kata beliau, pilihan terbaik untuk menguatkan orang Melayu dan menjaga kepentingan serta maruah mereka adalah melalui BN dan memenangi PRU15 untuk membentuk kerajaan, bukan melalui PH dan bersekongkol serta tunduk kepada DAP.
“Jika Dr. Mahathir ingin menjaga maruah orang Melayu, perkara paling nyata di depan mata yang dia boleh buat sebagai Perdana Menteri ialah melantik Menteri Kewangan yang lebih sensitif kepada kebajikan dan kepentingan orang Melayu berbanding Menteri Kewangan DAP yang ada sekarang.
“Ini kerana, banyak institusi Melayu dan agensi yang menjaga kepentingan, pembangunan dan kebajikan orang Melayu di bawah bidang kuasa dan kawal selia Menteri Kewangan.
“Tetapi, saya yakin Dr. Mahathir) tidak akan berbuat demikian, malah tidak berani berbuat demikian kerana dia bukan serius hendak menjaga maruah dan kepentingan orang Melayu, sebaliknya hanya ingin menjaga maruah dan kepentingan dirinya sendiri,” ujarnya.
Sebab itu, katanya, Dr. Mahathir memerlukan sokongan DAP untuk kekal Perdana Menteri dan hanya menggunakan sokongan Melayu kepadanya sebagai bahan untuk berunding dengan parti cauvinis itu.
“Sebab itu, saya kata kongres Ahad ini bukan Kongres Maruah Melayu kerana maruah Melayu tetap tidak akan terjaga di bawah PH. Tetapi ianya kongres retorik Dr.Mahathir di hadapan orang Melayu untuk menjaga air mukanya yang telah menjadi seakan perdana menteri boneka kepada DAP.
“Kongres ini akan memecahkan lagi orang Melayu lantas menguatkan lagi DAP dalam arena politik negara dan dalam kerajaan. Sebab itu saya tidak menyokong dan tidak akan pergi ke kongres ini sama ada dijemput atau tidak.
“Sebaliknya, saya menyokong Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional dan menentang apa-apa usaha untuk melemahkan agenda dan perjuangannya,” katanya. – MalaysiaGazette