Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamd mendedahkan beliau telah dinasihati oleh beberapa orang supaya tidak hadir perjumpaan Kongres Maruah Melayu hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang berucap di hadapan kumpulan orang Melayu, perdana menteri berkata, kehadirannya di kongres itu bukan soal parti dan juga bukan soal kumpulan tertentu.

“Yang akan dibincangkan ialah maruah orang Melayu dan saya sebagai orang Melayu berhak dan perlu hadir dalam mesyuarat ini,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh para peserta kongres yang memenuhi Stadium Tertutup Malawati di sini.

Sehubungan dengan itu, Dr Mahathir juga mengingatkan pihak-pihak tertentu bahawa beliau biasa berucap di hadapan kumpulan bukan Melayu.

“Tidak ada siapa menegur, tidak ada orang Melayu berkata awak jangan hadir perhimpunan bukan Melayu.

“Apatah lagi kita akan bincang maruah orang Melayu dan saya sebagai orang Melayu juga ingin mengambil bahagian dalam perbincangan ini,” katanya.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan Universiti Malaya bersama Universiti Teknologi Mara, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast