Wakil Sekretariat Himpunan Pemuda dan Belia Kampung Baru, Mohamad Shahril Saleh bercakap kepada media pada Himpunan Solidariti Selamatkan Kampung Baru di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pemuda dan Belia Kampung Baru memohon pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan satu pasukan atau jabatan khas untuk memacu perkembangan Kampung Baru.

Sekretariat Himpunan Pemuda dan Belia Kampung Baru, Mohamad Sharil Saleh berkata, langkah itu perlu bagi memantau kemelut dan perihal semasa pembangunan di Kampung Baru yang kini semakin meruncing.

Katanya, Pemuda dan belia di Kampung Baru yakin Dr Mahathir dapat memacu perihal yang berlaku dan disebabkan itu pertimbangan mengenai penubuhan pasukan atau jabatan khas perlu dilakukan.

“Kami Sekretariat Himpunan Pemuda dan Belia Kampung Baru dengan penuh sepakat dan sebulat suara menyatakan pandangan balas kami terhadap usul pihak kerajaan Malaysia melalui Kementeian Wilayah Persekutuan dalam merangka pelan pembangunan Kampung Baru,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pewaris tanah Kampung Baru di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 600 pemilik dan juga waris tanah di kampung berkenaan hadir dalam himpunan Solidariti Kebersamaan dan Persaudaraan Selamatkan Kampung Baru yang diadakan di di Dewan Orang Ramai Kampung Paya di sini.

Himpunan itu turut mendapatkan tanda tangan bagi menyokong memorandum yang akan dihantar ke Jabatan Perdana Menteri.

Pihak sekretariat akan mengumpul seberapa banyak tanda tangan daripada pewaris tanah Kampung Baru dalam tempoh dua minggu sebelum memorandum itu dihantar kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut Mohamad Sharil berkata, sebagai kelangsungan pelan strategik yang dirancang, pihaknya memohon penglibatan kepimpnan masyarakat terutama institusi anak muda sebagai pemegang warisan kehadapan agar setiap perincian pembangunan mendapat maklum balas yanng sewajarnya daripada pihak-pihak berkepentingan.

Perbincangan dua hala dan pelaksanaan mesra masyarakat bagi  memberi impak positif berkesan dengan turut serta melihat sama kejiranan Kampung Baru yang terdiri daripada pemegang hartanah di kawasan Sungai Baru, kediaman Pangsa Jalan Tun Razak, kediaman pangsa 16 tingkat PKNS serta Komuniti Raja Bot perlu dikembalikan.

Dalam pada itu, Mohamad Sharil berkata, sebuah lagi memorandum juga akan dihantar ke Istana Selangor dalam usaha melerai kebuntuan yang berlaku di Kampung Baru.

Jelasnya, memorandum tersebut merupakan sebuah pernyataan  khusus dan lebih besar sifatnya agar sultan Selangor lebih maklum mengenai kemelut yang sedang berlaku di Kampung Baru.

“Kami akan melengkapkan memorandum kedua yang lebih terperinci dan lebih besar sifatnya.

“Pada asasnya ia berkait tentang sosio budaya, politik, dan kelangsungn bangsa Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette