Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana ketika menjadi Perdana Menteri keempat dahulu telah memperkenalkan program pandang ke Timur.

Katanya, beliau mahu menjadikan Jepun sebagai contoh kerana menyangka rakyat Malaysia boleh mengikuti usaha dan semangat rakyat negara itu yang musnah teruk dalam Perang Dunia.

“Masa itu saya tengok negara Jepun yang musnah teruk bangun dengan semangat yang kental. Mereka bina negara mereka tanpa bantuan orang asing sehingga mereka nampak maju.

“Saya pilihlah Jepun sebagai model kepada rakyat Malaysia. Tetapi nampaknya, rakyat kita tidak ada semangat itu. Kita terlalu bergantung kepada orang asing dan semua jenis kerja.

“Jadi, saya minta maaf kerana perkenalkan pandang ke timur kerana saya tengok mereka kuat bekerja dan kaya. Mereka langsung tidak bergantung pada orang asing, mereka sendiri yang buat kerja,” katanya ketika berucap pada program Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, orang Melayu di negara ini tidak mahu kepada kemajuan kerana mereka asyik berpecah sesama sendiri.

Kata beliau, zaman merdeka dahulu, Melayu antara kaum yang terbesar di Malaysia dan mencapai sehingga 60 peratus, tetapi disebabkan berpecah kepada enam bahagian, negara ini terpaksa ditadbir dengan bantuan dan kerjasama kaum lain.

“Orang Melayu langsung tidak hargai apa yang mereka miliki, mereka mahu juga berpecah sesama sendiri dan sedar tidak sedar Melayu kini menjadi kumpulan kecil.

“Kalau begini keadaannya, macam mana Melayu hendak berkuasa tanpa ditindas dan dihina oleh orang lain,” katanya.

Beliau menyatakan, apabila Melayu cuba mendapatkan kerjasama pihak lain, secara tidak langsung kerajaan berhutang budi kepada mereka dan dengan sendirinya negara ini telah digadaikuasanya oleh mereka.

Dr. Mahathir berkata, sebelum KMM berlangsung, beliau diminta dan diarah oleh pihak tertentu supaya tidak hadir dalam perjumpaan ini.

“Saya beritahu mereka, ini bukan soal program kumpulan tertentu. Yang akan dibincangkan ialah maruah Melayu dan saya sebagai orang Melayu berhak hadir dalam perjumpaan ini.

“Saya juga ingin ingatkan pihak tertentu, saya juga pernah berucap pada kumpulan bukan Melayu, tetapi orang Melayu tidak larang pun saya hadir majlis itu.

“Saya hadir sebab saya orang Melayu dan tidak mahu lepaskan peluang mengambil bahagian dalam perjumpaan ini,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 10,000 hadirin.

Beliau turut mengingatkan orang Melayu bahawa peluang yang ada dan disediakan oleh kerajaan dalam negara ini telah diisi oleh orang asing disebabkan rakyat sendiri memandang kerja yang ada sebagai hina, bahaya, berat dan kotor.

Katanya, rakyat yang juga orang Melayu perlu terima hakikat apa yang beliau katakan itu, kerana selagi mengamalkan sikap tolak, selagi itu mereka tidak dapat kembalikan maruah yang telah hilang.

“Kita benarkan orang asing majukan negara kita sehingga kita sendiri jauh ke belakang.

“Apa yang saya katakan ini mungkin tidak disenangi semua pihak, tapi apa yang saya nyatakan ini adalah benar.

“Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi itu kita tidak sanggup menerima cabaran dan kita akan ketinggalan untuk selama-lamanya,” katanya. – MalaysiaGazette