Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan terbuka dengan mengakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya tidak kuat kemelayuannya dan terpaksa menjaga hati orang lain.

Ini bererti maruah Melayu telah tergadai akibat parti politik Melayu dalam PH sendiri, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Lantaran itu beliau berpendapat, taawun UMNO-Pas dan Piagam Muafakat Nasional adalah komitmen jelas dalam menyatukan ummah dan seterusnya menyusun hala tuju baharu dalam membela maruah bangsa Melayu.

“Justeru kita akan meneruskan pemerkasaan Muafakat Nasional sebagai satu jalan tuntas. Melayu yang mengaku lemah dalam kerajaan PH boleh jua turut serta dalam Muafakat Nasional asalkan mereka tidak lagi menggadai kedudukan,maruah dan kuasa kepada pihak yang jelas diketahui tidak menyenangi kekuatan dan kedudukan orang Melayu.

“Bak kata Tun M, Melayu sendiri yg tak mahu mengambil tanggungjawab terhadap sesuatu,maka sewajarnyalah orang lain menguasai mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas ucapan Dr Mahathir yang berkata: “Saya nak mengaku di sini, kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat kemelayuannya sekarang.

“Kalau dahulu kita boleh harap kerana kerajaan dipimpin oleh orang Melayu kerana orang Melayu memang kuat. Tidak kuat kerana nak tak nak pun kita kena ambil kira perasaan orang lain..”

Annuar antara wakil UMNO yang menghadiri Kongres Maruah Melayu anjuran empat universiti.

Katanya, kehadiran UMNO adalah atas dasar rasa tanggungjawab untuk mengikuti wacana berkaitan orang Melayu dan sebagai parti politik yang memikul mandat majoriti Melayu.

Mengulas lanjut, Annuar mengajak seluruh umat Melayu bersama dalam Muafakat Nasional untuk melenyapkan dilema Melayu agar tidak tergolong dalam kalangan Melayu mudah lupa. – MalaysiaGazette