Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang sesuatu bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Dewan Rakyat . foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kajian semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah dimulakan sejak Mac tahun ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pelaksanaan kajian ini sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta jabatan dan agensi berkaitan.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi agar meneliti laporan End of Mission Statements oleh Pelapor Khas PBB tersebut,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soalan lisan hari ini.

Anwar bertanyakan apakah langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan berkenaan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti dilaporkan pada 2016.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan ialah dengan mengemaskini dan menambah baik sistem eKasih yang menjadi pangkalan data kemiskinan nasional.

“eKasih akan turut mengambil kira bilangan ahli dan keperluan isi rumah supaya pemberian bantuan menepati keperluan dan kumpulan sasar.

“Mekanisme pengumpulan data dan formulasi strategi juga akan ditambah baik dengan memanfaatkan perkembangan teknologi terkini,” katanya lagi.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disangkal oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang mengatakan bahawa data yang digunakan kerajaan sebelum ini adalah menggunakan piawaian yang diterima pakai diperingkat antarabangsa berdasarkan Canbera Group Handbook bagi statistik pendapatan isi rumah, edisi kedua dan diterbitkan oleh PBB.

Malah jelas Azmin, garis kemiskinan (PLI) bagi isi rumah juga ditetapkan pada RM980 sebulan bagi satu isi rumah.

Justeru jelasnya Malaysia kekal memakai angka rasmi miskin tegar pada 0.4 peratus bagi 2016 bersamaan 24,700 isi rumah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast